Sebuah tren komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang membawa penumpang dilihat memasuki Stesen Keretapi Seremban pada 15 April 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kempen Travel Sama-Sama: KTMB tawar diskaun 25 peratus hingga 31 Disember

KUALA LUMPUR, 27 JAN: Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) menawarkan diskaun sebanyak 25 peratus menerusi Kempen Travel Sama-Sama bagi pembelian tiket bermula hari ini hingga 31 Dis tahun ini melibatkan semua perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan Ekspres Intercity.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin berkata tahun lepas, seramai 508,000 penumpang memanfaatkan diskaun tersebut dengan jumlah RM2.6 juta.

Beliau berkata pemberian diskaun hanya sah untuk warganegara Malaysia dengan pembelian minimum empat tiket dewasa atau kanak-kanak dalam satu transaksi yang sama dengan memasukkan kod promo yang akan diumumkan.

“Kami memberikan diskaun khas ini kepada perjalanan perkhidmatan ETS kelas biasa dan kelas perniagaan serta perkhidmatan Ekspres Rakyat Timuran dan Ekspres Selatan.

“Tujuan utama pemberian diskaun adalah untuk menggalakkan rakyat Malaysia bercuti bersama-sama keluarga dan rakan ke mana-mana destinasi di samping sebagai inisiatif mengurangkan penggunaan kenderan bagi mengelak kesesakan lalu lintas terutama ketika musim perayaan.

“Pada masa sama, inisiatif ini adalah sumbangan KTMB kepada kerajaan untuk menggalakkan rakyat Malaysia melancong di dalam negeri,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Kempen Travel Sama-Sama hari ini.

Mohd Rani Hisham berkata tiket boleh dibeli menerusi kaunter, kiosk, aplikasi dan laman web KTMB.

Kempen Travel Sama-Sama merupakan kesinambungan Kempen Keluarga Malaysia pada tahun lepas sebagai inisiatif menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan tersebut.

– BERNAMA


Pengarang :