Jemaah haji melakukan tawaf mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ketat susulan penularan Covid-19. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Kenaikan harga hotel di Makkah, Madinah akan dibincang bersama Arab Saudi

KUALA LUMPUR, 9 JAN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan pihaknya akan mengemukakan isu berhubung kenaikan harga hotel di Makkah dan Madinah kepada Menteri Haji Arab Saudi.

Beliau berkata demikian menerusi Facebook susulan laporan berhubung kenaikan harga itu yang berlaku impak daripada kenaikan kos di negara berkenaan yang akan memberi kesan kepada jemaah umrah.

“Saya amat memahami perkara ini sedikit sebanyak telah membangkitkan keresahan jemaah umrah. Sepertimana sedia maklum, perkara ini adalah di luar kawalan pihak kita.

“Ia tentunya memberi kesan bukan setakat kepada jemaah umrah Malaysia bahkan kepada jemaah negara lain juga,” katanya yang kini berada di Arab Saudi mewakili negara untuk menghadiri Persidangan Perkhidmatan Haji dan Umrah 2023.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar

Menurut Mohd Na’im beliau berharap pihak agensi umrah dapat mempertimbangkan ruang dan kaedah terbaik agar kenaikan kos keseluruhan yang dikenakan tidak melampau sehingga membebankan bakal jemaah umrah.

Semalam Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) dilaporkan meminta bakal jemaah umrah bersiap sedia sekiranya berlaku kenaikan harga pakej umrah oleh agensi pelancongan masing-masing pada saat akhir sebelum mereka berlepas ke tanah suci.

Menurut laporan itu kenaikan harga berlaku berpunca daripada kenaikan mendadak kadar harga hotel di Makkah dan Madinah pada masa ini.

– BERNAMA


Pengarang :