Kenderaan barangan dan bermuatan berat menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan ketika tinjauan pada 6 Oktober 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kenderaan barangan dilarang guna jalan raya pada 20, 21, 24 dan 25 Januari

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Kementerian Pengangkutan (MOT) akan melaksanakan penguatkuasaan larangan pemanduan ke atas kenderaan barangan (road-ban) sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada 20 dan 21 Jan (sebelum perayaan) serta 24 dan 25 Jan (selepas perayaan) ini.

MOT dalam kenyataan memaklumkan tujuan utama larangan itu adalah bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas serta mengurangkan risiko nahas jalan raya akibat percampuran trafik antara kenderaan barangan dengan kenderaan persendirian.

“Larangan ini dikuatkuasakan dengan mengambil kira peningkatan trafik yang ketara khususnya bagi kenderaan persendirian yang pulang ke kampung halaman. Perintah penurunan had laju kebangsaan juga akan turut dikuatkuasakan bersama-sama road-ban ini,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat kaedah/perintah serta butiran terperinci mengenai larangan berkenaan di laman sesawang www.lom.agc.gov.my.

MOT turut menasihatkan pemandu agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya serta memastikan aspek keselamatan menjadi keutamaan semasa memandu.

— BERNAMA


Pengarang :