Menteri Ekonomi Rafizi Ramli ketika melancarkan OpenDOSM NextGen di Jabatan Perangkaan pada 12 Januari 2023. Turut sama Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin (kanan) dan Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi Datuk Nor Azmie Diron (kiri). Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kerajaan mahu percepat projek jaminan makanan, teknologi hijau

PUTRAJAYA, 12 JAN: Kerajaan menyasarkan untuk mempercepat pelaksanaan projek berimpak tinggi dalam semakan semula Bajet 2023, terutama yang berkaitan dengan jaminan keselamatan makanan, rantaian nilai makanan, tenaga boleh baharu serta teknologi hijau.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata ini berikutan kerajaan berharap dapat mengekalkan tahap perbelanjaan yang dapat memberi kesan limpahan berganda bukan sahaja kepada negara, tetapi bagi manfaat rakyat.

“Bagi Kementerian Ekonomi yang bertanggungjawab bagi pembangunan projek dikenali sebagai Perbelanjaan Pembangunan, pendekatan kita tidak hanya untuk meneruskan projek sedia ada tetapi turut mengenal pasti peluang bagi menambah (bilangan) projek dalam sektor utama,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran OpenDOSM NextGen di sini, hari ini.

Rafizi bagaimanapun enggan mengulas sama ada kerajaan akan mengekalkan atau menyemak semula peruntukan dalam semakan Bajet 2023 seperti yang pernah dinyatakan oleh mantan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Pada 7 Oktober lepas, Tengku Zafrul telah membentangkan Bajet 2023 yang memperuntukkan sejumlah RM372.3 bilion — angka terbesar dalam sejarah.

Bagaimanapun, tiga hari kemudian, Parlimen telah dibubarkan bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 diadakan pada 19 November 2022.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan, dijadual membentangkan semula Bajet 2023 di Dewan Rakyat pada 24 Februari ini.

Sementara itu, pada majlis sama, Ketua Perangkawan Negara Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata OpenDOSM NextGen yang dilancarkan itu merupakan kesinambungan usaha pemodenan serta inovasi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) ke arah pelaksanaan perkhidmatan perangkaan yang berkesan.

“Selain mendapat akses yang pantas dan mudah bagi data terbuka, platform tersebut mengandungi data yang disusun dalam katalog serta dipaparkan dalam bentuk papan pemuka untuk kemudahan pengguna,” katanya. – BERNAMA


Pengarang :