Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama EXCO Pertanian Ir Izham Hashim menunjukkan durian jenis XO ketika mengunjungi ruang pameran peserta Selangor AgroFest 2019 berlangsung di Bulatan Bazarena, Shah Alam. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kerajaan Negeri rancang anjur semula Selangor Agro Fest tahun ini

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 9 JAN: Kerajaan Negeri berhasrat menganjurkan semula Selangor Agro Fest (SAF) dalam skala lebih besar tahun ini selepas kali terakhir menganjurkannya pada 2019.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata pihaknya merancang melaksananya pada Februari atau Mac di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.

“Menerusi penganjuran SAF kita sediakan platform dalam skala lebih besar untuk usahawan tani perkenalkan produk mereka.

“Kita juga akan adakan perbincangan Februari ini bagi perincikan semua program pertanian yang dirancang bawah Pelan Transformasi Agro Selangor,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Izham berkata pihaknya jugak merancang menjalin kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi menganjurkan acara terbabit.

Beliau berkata penganjuran ekspo seumpama itu mampu menggalakkan penglibatan lebih ramai golongan muda dalam sektor pertanian seterusnya melahirkan kelompok agropreneur baharu.

“Kita mahu perluaskan program agro bandar yang tumpukan tanaman melon, vanila dan juga ternakan udang kara.

“Usaha ini bagi membantu golongan muda yang kehilangan pekerjaan dan berminat menceburi sektor pertanian namun tidak tahu platform untuk bergiat aktif,” katanya.

SAF menjadi antara acara tahunan sejak 2012 dengan matlamat memperkasa dan membangunkan sektor pertanian, sekali gus meningkatkan pendapatan usahawan tani di negeri ini.

Selain pameran penternakan, perikanan, pertanian dan Industri Asas Tani, karnival itu turut menganjurkan perlbagai aktiviti termasuklah jualan jimat rakyat, pertandingan masakan juadah kampung, jualan makanan istimewa daerah, jualan kendera saji, acara kanak-kanak serta persembahan artis tanah air.


Pengarang :