Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika peluncuran buku Membangun Malaysia Madani selepas menyampaikan amanat di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 19 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan tekad struktur semula ekonomi negara, basmi kemiskinan antara keutamaan

PUTRAJAYA, 19 JAN: Kerajaan akan menstruktur semula ekonomi negara berlandaskan kepada tiga keutamaan strategik iaitu membasmi kemiskinan, penstrukturan semula ekonomi dan memulih serta menjana ekonomi berteraskan konsep Malaysia Madani.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pertumbuhan dan pengembangan ekonomi negara perlu dicapai dalam konteks yang lebih luas iaitu ekonomi manusiawi yang mengutamakan keperluan rakyat.

“Khususnya kepada golongan miskin dan terpinggir serta membebaskan mereka daripada cengkaman kemiskinan dalam sistem kapitalisme yang tidak terkawal yang memupuk ketidaksamaan kekayaan dan ketidaksamaan taraf hidup,” katanya ketika menyampaikan amanat sempena Wacana Membangun Malaysia Madani, di sini, hari ini.

Wahana utama yang menjadi teras Malaysia Madani akan bertunjangkan kepada empat teras strategik utama iaitu membina semula ekonomi, menjamin kesejahteraan insan, reformasi institusi demokrasi dan perundangan serta mewujudkan pentadbiran beramanah.

Bagi memastikan kemampanan dan kelancaran agenda ini, tiga pembolehdaya strategik akan berfungsi sebagai enjin penggerak iaitu digitalisasi perkhidmatan rakyat, pendaya upayaan bakat terbaik negara dan pemerkasaan pengurusan projek strategik.

Kerajaan Perpaduan bawah pimpinan Anwar merangka konsep Madani sebagai ikhtiar untuk memetakan strategi bagi mentadbir negara dengan berkesan, sekali gus mengoptimumkan fungsi jentera kerajaan yang bertanggungjawab melaksanakan dasar-dasar berkaitan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan amanat sempena program Wacana Membangun Malaysia Madani di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 19 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Anwar berkata jumlah rakyat miskin di negara ini masih tinggi dengan kira-kira 136,000 isi rumah berada dalam kategori miskin tegar dan lebih 308,000 isi rumah dalam kategori miskin setakat Julai 2022.

“Walaupun faktor pendapatan menjadi unsur asasi dalam menentukan kadar kemiskinan, dimensi lain yang menjadi pokok dalam mutu kehidupan juga harus diberi tumpuan,” katanya.

Justeru, Perdana Menteri mengusulkan Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi dijadikan sebagai kaedah alternatif bagi mengukur kadar kemiskinan berdasarkan dimensi keperluan asas seperti tahap pendidikan dan zat makanan.

Menurutnya, konsep Madani juga menggariskan penstrukturan semula ekonomi perlu berasaskan kepada etika mampan yang merangkumi mengelakkan pembaziran dan kemewahan, membasmi ketirisan dan rasuah, menyegerakan bantuan dan prasarana rakyat serta mengagihkan kekayaan secara saksama.

Selain itu, katanya, dalam usaha memulih dan menjana ekonomi, kerajaan akan memberi galakan dan dorongan penuh kepada perusahaan tempatan yang berteraskan Madani untuk menyumbang kepada pertumbuhan dan menarik pelaburan asing.

Sebahagian peserta program Wacana Membangun Malaysia Madani dan Amanat Perdana Menteri di Dewan Perdana Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 19 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau berkata perusahaan kecil dan sederhana (PKS) merupakan tulang belakang ekonomi Malaysia kerana menyumbang 38 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

PKS di seluruh negara membentuk 97.2 peratus daripada keseluruhan perniagaan di Malaysia serta menggaji hampir 70 peratus tenaga kerja negara.

“Perkembangan kemajuan PKS itu lebih bermakna daripada mendukung kelompok konglomerat. Saya tidak menafikan mereka untuk bersaing tetapi dasar kerajaan mesti anjak sedikit dari pendekatan lama,” tambahnya. – BERNAMA


Pengarang :