Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Air Selangor meletakkan beg Activated Carbon (AC) di lokasi pencemaran bagi meningkatkan nyah bau. Foto Facebook LUAS
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kerja baik pulih paip pecah siap sepenuhnya, bekalan air sudah mula disalurkan

SHAH ALAM, 1 JAN: Kerja pembaikan paip pecah di Bukit Indah Industrial Park, Sungai Buloh sudah selesai sepenuhnya pada jam 9 malam ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat-peringkat kepada pengguna setelah sistem bekalan air distabilkan.

“Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada jam 9:00 malam, 2 Januari 2023 (Isnin).

“Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa. Pengguna boleh merujuk ke semua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300,” katanya menerusi Facebook malam ini.

Menurut kenyataan itu pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.

Terdahulu Air Selangor melaksanakan kerja pembaikan paip pecah di Bukit Indah Industrial Park sejak pagi tadi.

Kerja pembaikan itu menyebabkan gangguan air tidak berjadual di 83 kawasan sekitar wilayah Gombak dan Kuala Lumpur.

Susulan kejadian itu Air Selangor menggerakkan lori tangki bagi menghantar bekalan air ke kawasan terjejas terutama premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.


Pengarang :