Penduduk mengambil bantuan bekalan air yang disediakan Air Selangor. Foto Facebook Air Selangor
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kerja pembaikan paip pecah sudah mencapai 78 peratus sehingga 6 petang ini

SHAH ALAM, 1 JAN: Kerja pembaikan paip pecah di Bukit Indah Industrial Park, Sungai Buloh sudah mencapai 78 peratus sehingga jam 6 petang tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata kerja pembaikan itu dijangka siap sepenuhnya pada jam 10 malam ini.

“Bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat-peringkat kepada premis pengguna setelah kerja pembaikan siap dilakukan.

“Tempoh masa pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Terdahulu Air Selangor giat melaksanakan kerja pembaikan paip pecah di Bukit Indah Industrial Park sejak pagi tadi.

Kerja pembaikan itu menyebabkan gangguan air tidak berjadual di 83 kawasan sekitar wilayah Gombak dan Kuala Lumpur.

Susulan itu Air Selangor berkata pihaknya menggerakkan lori tangki bagi menghantar bekalan air ke kawasan terjejas terutama premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.


Pengarang :