AGENDANASIONAL

Kes denggi meningkat 150 peratus, 56 maut pada 2022

KUALA LUMPUR, 4 JAN: Jumlah kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sepanjang 2022 mencatatkan peningkatan sebanyak 150.7 peratus atau 39,737 kepada 66,102 kes berbanding 26,365 pada 2021.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah kumulatif kematian akibat komplikasi denggi yang dilaporkan pada 2022 pula ialah 56 berbanding 20 bagi tempoh sama pada 2021 iaitu peningkatan 36 kematian atau 180 peratus.

“Peningkatan kes dan kematian akibat denggi ketika ini perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak. Membanteras denggi adalah tanggungjawab semua,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya pada 19 Januari 2021. Foto BERNAMA

Beliau berkata tindakan pencegahan amat diperlukan bagi memastikan kejadian demam denggi dapat diatasi dan semburan racun serangga tidak akan menyelesaikan masalah jika tempat pembiakan nyamuk Aedes tidak dihapuskan.

Dr Noor Hisham berkata faktor yang menyebabkan peningkatan kes ialah pergerakan manusia apabila semua sektor dibuka sepenuhnya setelah pandemik Covid-19 menjadikan lebih mudah menyebarkan virus denggi ke tempat lain.

Katanya pesakit denggi tidak bergejala yang melawat ke tempat baharu boleh menyebarkan virus itu apabila digigit nyamuk Aedes.

Beliau berkata faktor lain ialah apabila berlaku perubahan serotaip denggi kepada DEN 4 di kebanyakan negeri menyebabkan peningkatan kes dan kematian serta tabiat segelintir masyarakat yang tidak membuang sampah di tempat pelupusan disediakan turut menyumbang kepada tempat pembiakan Aedes.

“Faktor cuaca, suhu serta bencana banjir yang dialami dapat mempengaruhi perkembangan nyamuk dan larva yang menyebabkan populasi Aedes meningkat seterusnya menyebarkan virus denggi,” katanya.

Bagi menurunkan kejadian kes dan wabak denggi, Dr Noor Hisham menyarankan negeri yang dilanda banjir seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Perak, Kedah, Sabah dan Sarawak agar melaksanakan aktiviti pembersihan longgokan sampah serta sisa seminggu selepas air surut untuk mengelak daripada ia menjadi tempat pembiakan Aedes.

Team Selangor berjaya mengutip 2,719 kilogram sampah menerusi 14 aktiviti gotong-royong pada 2021. Foto Team Selangor

Katanya pihak berkuasa tempatan juga hendaklah memastikan urusan pelupusan sampah berjalan sempurna dan teratur manakala masyarakat diingatkan agar menjalankan aktiviti ‘cari dan musnah’ tempat pembiakan Aedes di kawasan persekitaran kediaman masing-masing setiap minggu.

Dr Noor Hisham turut mencadangkan penggunaan bahan pembunuh jentik-jentik di kawasan yang berpotensi menjadi tempat pembiakan Aedes seperti pam tandas, kolam hiasan dan kolah air manakala bekas penyimpanan air hendaklah ditutup rapat agar nyamuk tidak dapat bertelur.

“Pastikan tiada air bertakung di penutup bekas penyimpanan air, alas penapis air, palong air hujan, alas pasu dan sebagainya,” kata beliau.

Beliau berkata survelan chikungunya merekodkan sebanyak 13 kes pada Minggu Epidemiologi ke-52 dengan lapan kes dari Pulau Pinang, empat kes dari Selangor serta satu kes dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Katanya jumlah kumulatif kes chikungunya bagi 2022 pula ialah 814 berbanding 1,432 kes pada 2021.

Dr Noor Hisham berkata bagi survelan zika sepanjang 2022, sebanyak 2,238 sampel darah serta 18 urin telah disaring dan hasilnya adalah negatif. – BERNAMA


Pengarang :