Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk S Sasikala Devi Subramaniam pada sidang media selepas Pelancaran OP Selamat 19/2023 Sempena Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Gombak, Kuala Lumpur pada 16 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONALSELANGOR

Kes wang bantuan sekolah lesap, polis selesai rakam keterangan tiga individu

SUNGAI BULOH, 19 JAN: Polis telah merakam keterangan seorang guru besar dan dua individu bagi membantu siasatan kehilangan wang Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM109,000 yang dikeluarkan dari sebuah bank di Semenyih dekat sini Isnin lepas.

Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk S Sasikala Devi berkata dua individu itu adalah seorang guru dan pekerja restoran tempat pengadu (guru besar) membeli minuman ketika kejadian tersebut.

“Selain tiga individu ini, polis juga akan memanggil pekerja bank tempat wang berkenaan dikeluarkan. Kami tidak menolak kemungkinan terdapat penglibatan orang dalam, bagaimanapun siasatan masih belum menemui sebarang petunjuk,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh, di sini hari ini.

Beliau berkata kejadian itu juga tidak dapat dikesan oleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi terlibat.

Pada 16 Januari lepas, media melaporkan pihak polis menerima laporan kejadian itu pada 12.17 tengah hari daripada guru besar berusia 50 tahun itu dan siasatan awal polis mendapati mangsa mengeluarkan wang berkenaan dari sebuah bank di Kampung Baru Semenyih kira-kira 10 pagi sebelum memasukkannya ke dalam sebuah beg.

Mangsa kemudian meletakkan beg tersebut di tempat duduk penumpang hadapan keretanya dan meninggalkan kenderaan itu untuk pergi ke kedai makan bagi membeli minuman.

Namun, sekembalinya ke kereta mangsa mendapati tingkap di bahagian kanan penumpang belakang telah dipecahkan dan beg yang berisi wang telah dicuri.

Sementara itu, mengenai perkembangan siasatan penemuan mayat yang dipotong enam bahagian di tepi jalan di Kilometer 447 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah utara, berhampiran susur Rawang Selatan, pada Selasa lepas, Sasikala Devi berkata polis akan mendapatkan kerjasama Interpol untuk mengenal pasti identiti mangsa.

“Polis mengesyaki mangsa adalah warga asing sebab tiada kesan suntikan BCG pada mangsa. Kami juga sedang menunggu jika ada mana-mana pihak tampil membuat aduan orang hilang dan disahkan sehingga hari ini tiada sebarang laporan diterima.

“Hasil awal bedah siasat, mangsa dipercayai dibunuh kira-kira 12 jam sebelum dibuang dan ditemukan pengadu di lokasi kejadian,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :