Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) melancarkan Geran Komuniti Subang Jaya Smart Vibrant 2023 bersama Datuk Bandar Subang Jaya Datuk Johary Anuar (kiri) dan Timbalan Datuk Bandar Subang Jaya Zulkurnain Che Ali (kanan) di Bandar Sunway pada 15 Januari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN
AGENSIBERITA UTAMAPBTSELANGOR

Khidmat berkualiti seiring status bandar raya, tuntas selesai masalah

SUBANG JAYA, 16 JAN: Status bandar raya yang dicapai pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu diterjemah seiring perkhidmatan berkualiti dan pentadbiran yang baik.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata status itu bukan hanya untuk dibanggakan, sebaliknya perlu dirasai rakyat termasuk penyelesaian tuntas dalam pelbagai isu.

“Kita mahu lihat kemampuan PBT memastikan kualiti pentadbiran dirasai semua rakyat. Saya percaya ini cabaran besar perlu dilalui kerana masih ada kawasan separa bandar, berstatus kampung dan berdepan risiko banjir.

“Ini sudah pasti memberi isyarat bukan status sahaja harus dibanggakan tetapi perlu ada penyelesaian tuntas dan keupayaan melayan penduduk untuk pastikan mereka bahagia,” katanya.

Beliau berucap demikian ketika merasmikan program Anugerah Komuniti Mampan 2022 Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan pelancaran Geran Komuniti Subang Jaya Smart Vibrant di sini malam tadi.

Dalam pada itu, Amirudin berharap PBT berstatus bandar raya dapat memperbaiki mutu perkhidmatan dan cara kerja termasuk lebih kerap berhubung dengan masyarakat sekitar.

Amirudin turut memuji peranan MBSJ dalam menghargai majlis perwakilan penduduk (MPP) dengan mengadakan majlis keraian dan anugerah kepada golongan terbabit.

“Seperti perdana menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) selalu sebut dalam ucapan kita jangan membangun pada masa sama meruntuhkan kemanusiaan.

“Ini bermakna kita bangunkan lebuh raya, kawasan perbandaran dan kejiranan baharu tetapi pada masa sama hancurkan dan hilangkan kehijauan atau kelestarian alam sekitar,” katanya.


Pengarang :