Keadaan banjir kilat yang berlaku di beberapa kawasan sekitar Meru susulan hujan lebat kira-kira dua jam pada petang 10 November 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Klang, Petaling, Kuala Selangor diramal banjir kilat jika hujan lebat berterusan

SHAH ALAM, 22 JAN: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) hari ini mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat di Selangor melibatkan tiga daerah jika hujan lebat berterusan.

Agensi itu menerusi Facebook memaklumkan daerah yang diramal mengalami bencana tersebut ialah Klang, Petaling dan Kuala Selangor.

“Di Klang, kawasan itu ialah pekan Pandamaran, bandar Klang, Kapar dan kawasan sekitar manakala Kuala Selangor pula membabitkan mukim Pasangan, pekan Bestari Jaya dan sekitarnya.

“Bagi Petaling di bandar Shah Alam, pekan Batu Tiga, Damansara, Bukit Raja dan kawasan sekitar,” katanya hari ini.

Agensi itu turut memaklumkan beberapa daerah di Johor, Melaka, Pahang, Negeri Sembilan dan Sarawak turut berisiko dilanda banjir kilat sekiranya hujan lebat berterusan.

“Notis kesiapsiagaan ini dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutama di kawasan berisiko berwaspada dengan sebarang kemungkinan berlakunya banjir kilat bagi tempoh tersebut,” katanya.

Untuk maklumat lanjut termasuk keadaan di negeri lain, orang ramai boleh melayari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my , Facebook @PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir.


Pengarang :