SHAH ALAM, 26 JAN: Pembinaan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) dengan kemudahan bertaraf dunia seharusnya menjadi kebanggaan rakyat khususnya pemain bola sepak Selangor.
Presiden Eksekutif Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) Datuk Dell Akbar Khan Hyder Khan berkata ia berikutan tiada stadium seumpamanya yang pernah dibina di negara ini.
“Sebagai bekas pemain kebangsaan, saya rasa stadium ini dibina khusus untuk Selangor dan merupakan bertaraf dunia.
“Tiada lagi stadium di Malaysia ini setanding dengannya. Rakyat dan pemain seharusnya berbangga,” katanya kepada Selangorkini hari ini.
Terdahulu bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu meluangkan masa menghadiri hari pertama sesi libat urus awam KSSA di pusat beli belah SACC Mall, di sini.
Sesi libat urus awam projek pembangunan itu akan dibuka sehingga 10 Februari hadapan bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.
Dell Akbar berkata stadium baharu yang akan dibina dalam KSSA tidak memiliki trek larian dan penonton akan mendapat suasana sebenar permainan bola sepak seperti di Eropah.
“Stadium ini tiada trek larian dan penonton akan lebih rapat dengan padang. Biasanya kita akan melihat pemandangan seperti ini di stadium terkenal di luar negara sahaja,” katanya.
Dato’ Menteri Besar sebelum ini memberitahu projek KSSA akan dilaksana secara perkongsian awam-swasta dengan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) menanggung kos pembangunan tanpa menggunakan dana awam.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pembangunan semula KSSA termasuk stadium negeri akan bermula pada suku pertama tahun ini.