Penunggang motosikal berkuasa tinggi mengalami detik cemas apabila nyaris dihanyutkan arus deras banjir ketika melalui jalan berhampiran Kampung Jemari, Mersing pada 26 Januari 2023. Foto Facebook Best Broker Investment
AGENDA NASIONAL

Konvoi motosikal kuasa tinggi dari Singapura nyaris dihanyut banjir

MERSING, 26 JAN: Sekumpulan konvoi motosikal berkuasa tinggi mengalami detik cemas apabila nyaris dihanyutkan arus deras banjir ketika melalui jalan berhampiran Kampung Jemari, di sini tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Mersing Supt Abdul Razak Abdullah Sani berkata berdasarkan maklumat, kejadian itu melibatkan enam penunggang warga Singapura dari arah Kluang yang sedang menuju ke Kuantan, Pahang.

Beliau berkata ketika tiba di lokasi tersebut, kumpulan berkenaan dipercayai cuba melalui jalan yang telah dinaiki air itu sebelum dihanyutkan arus deras.

“Kesemua mereka telah dibantu anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sedang bertugas melakukan pemantauan banjir di kawasan kampung berkenaan.

“Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan kumpulan berkenaan telah patah semula ke Johor Bahru,” katanya ketika dihubungi Bernama malam tadi.

Bagaimanapun, menurut Abdul Razak tiada laporan polis dibuat berkaitan kejadian itu setakat ini.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 27 saat memaparkan beberapa individu cuba menyelamatkan motosikal berkuasa tinggi bernombor pendaftaran Singapura yang dipercayai hanyut ketika cuba meredah jalan yang dinaiki air.

Sementara itu, tinjauan Bernama petang tadi mendapati Jalan Nitar Timur-Pengkalan Batu berhampiran Kampung Jemari telah ditutup sepenuhnya kerana banjir.

-BERNAMA


Pengarang :