Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 di Sekolah Menengah Kebangsaan Sandakan mengaminkan doa sebelum menduduki peperiksaan itu pada 22 Februari 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KPM, KKM sentiasa pantau penularan Covid-19 babit calon SPM

GEORGE TOWN, 30 JAN: Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) sekiranya berlaku penularan wabak Covid-19 membabitkan pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), bermula 20 Februari nanti.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata jika berlaku penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan calon SPM dan sekolah, KKM mempunyai mekanisme dalam menguruskannya.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek ketika menjawab pertanyaan media selepas melakukan lawatan kerja di Sekolah Kebangsaan Keledang Jaya, Nibong Tebal pada 13 Januari 2023. Foto BERNAMA

“Saya beri jaminan, calon-calon SPM jangan risau dan kita telah membuat segala persiapan dan persediaan itu (berhubung Covid-19), prosedur operasi standard (SOP) akan ditentukan oleh KKM.

“Kita juga sentiasa minta nasihat KKM dari semasa ke semasa dan kita berdoa banyak-banyak semoga dijauhkan ujian dan bala (Covid-19) supaya boleh tumpu semua anak-anak kita yang membuat persiapan SPM,” katanya semasa soal jawab pada sesi Town Hall SPM 2022 yang diadakan secara maya, hari ini.

Sesi Town Hall itu disertai guru dan calon-calon SPM dari seluruh Pulau Pinang.

Sementara itu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata beliau telah mengadakan mesyuarat berkenaan belanjawan untuk kementerian dan tumpuan akan diberikan dalam memperkasakan kaedah menguruskan potensi pelajar di sekolah sama ada dalam bidang sukan, seni atau kebudayaan.

“Komitmen kita ialah nak berikan tumpuan dan program hala tuju karier anak-anak yang berpotensi itu selepas SPM ini.

“Di situlah nanti, kami akan berikan taklimat dengan hala tuju status anak-anak yang menjadi atlet pada negara khsusnya,” katanya ketika menjawab soalan seorang pelajar sama ada individu aktif bersukan terutamanya yang menjadi atlet negeri akan mendapat mata kredit atau biasiswa ketika menyambung pelajaran selepas SPM.

Kepada soalan mengenai senario ramai pelajar tidak mahu menyambung pelajaran selepas SPM kerana beranggapan rezeki ada di mana-mana, Fadhlina berkata rakan sebaya perlu memainkan peranan memberi kesedaran dan nasihat tentang kepentingan pendidikan.

“Katakan hari ini dia tidak berminat nak sambung belajar dan mahu bekerja dahulu..kerana keluarga susah, tapi dia perlu ada niat untuk sambung belajar,” katanya menambah setiap pelajar perlu memiliki ilmu dan berpendidikan tinggi supaya boleh menjadi manusia yang bermanfaat. – BERNAMA


Pengarang :