Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek melihat kerosakan siling di kantin Sekolah Kebangsaan Keledang Jaya ketika melakukan lawatan kerja di sekolah tersebut pada 13 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KPM sasar pulihkan 17 sekolah ‘sakit’ sebelum akhir tahun ini

NIBONG TEBAL, 13 JAN: Kementerian Pendidikan (KPM) berharap dapat memulihkan 17 sekolah di seluruh Malaysia yang tergolong dalam kategori projek ‘sakit’ sekurang-kurangnya menjelang akhir tahun ini.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata pihaknya akan memastikan pemulihan disegerakan supaya semua sekolah itu boleh dikeluarkan daripada status projek ‘sakit’.

“Semua 17 sekolah ini sudah dibangunkan dan telah siap 90 peratus, cuma tinggal kerja akhir yang tertangguh disebabkan beberapa isu seperti kekurangan pekerja asing.

“Kita akan pastikan 17 sekolah ini disegerakan mengikut tempoh masa supaya boleh dipindahkan daripada status projek sakit ke status tender semula,” katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Keledang Jaya, Changkat dekat sini hari ini.

Mengulas mengenai lawatan hari ini, Fadhlina berkata kementeriannya akan menyalurkan peruntukan RM250,000 kepada SK Keledang Jaya bagi penyelenggaraan fasiliti sekolah.

Terdahulu, beliau melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Acheh, Tanjong Berembang dekat sini, yang menerima peruntukan RM300,000 daripada KPM bagi penyelenggaraan kantin dan fasiliti sekolah.

– BERNAMA


Pengarang :