Orang ramai mendapatkan barang keperluan asas pada harga murah menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat di Warung Ramli Kampung Assam Jawa, Bukit Melawati pada 18 Januari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Kuantiti ayam ditambah, lebih ramai dapat manfaat jualan murah

KUALA SELANGOR, 18 JAN: Penambahan jumlah ayam yang dijual menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) memanfaatkan lebih ramai warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati.

Pengurus Pusat Khidmat Masyarakatnya Muhammad Farhan Zulkifli berkata tambahan daripada 300 kepada 500 ekor ayam bagi memenuhi permintaan tinggi penduduk setempat.

“Tambahan ayam diterima baik penduduk kerana menerusi jualan sebelum ini, ada antara mereka tidak dapat berikutan bekalan sudah habis biarpun terhad kepada seekor satu orang,” katanya.

Beliau yang ditemui pada program jualan murah itu menambah hebahan dibuat secara meluas di Facebook dan kerjasama ketua kampung melalui kumpulan Whatsapp.

Orang ramai mendapatkan barang keperluan asas pada harga murah menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat di Warung Ramli Kampung Assam Jawa, Bukit Melawati pada 18 Januari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Muhammad Farhan memaklumkan inisiatif kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor akan diteruskan di Telok Piah dan Kampung Kuantan pada 25 dan 26 Januari.

Program jualan murah yang memanfaatkan lebih dua juta penduduk negeri ini diadakan semula bermula 15 Januari hingga Mac dengan 11 lokasi setiap hari berbanding sembilan sebelum ini.

Menerusinya, ayam standard dijual RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung atau selayang (RM6 per pek), minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).

 

 


Pengarang :