Transaksi tol menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) bagi kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) dilaksanakan di laluan Juru, Pulau Pinang hingga ke Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bermula 10 malam pada 15 Januari 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kurangkan kesesakan di tol, Plus tambah 12 lorong RFID

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Plus Expressway Berhad akan menambah 12 lorong teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) selewat-lewatnya pertengahan April ini sebagai permulaan susulan rungutan pengguna lebuh raya berhubung kekurangan lorong berkenaan yang menyebabkan kesesakan.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata keputusan itu dicapai hasil pertemuan beliau dengan wakil dari kumpulan Touch ‘n Go Malaysia, Lembaga Lebuhraya Malaysia dan Plus Malaysia pagi ini bagi mendapatkan maklumat jelas mengenai isu kesesakan di plaza tol yang menggunakan RFID seperti diutarakan pengguna lebuh raya.

“Berdasarkan rungutan yang banyak diterima, rata-rata pengguna transaksi ini mengeluh mengenai kekurangan laluan transaksi RFID yang menyebabkan kesesakan teruk di plaza tol.

“Isu keselamatan juga turut dibangkitkan di mana pengguna jalan raya mempersoalkan kedudukan laluan RFID di plaza tol yang berubah-ubah yang telah menyebabkan kemalangan.

“Dalam pertemuan ini, saya sudah mengarahkan tindakan diambil secepat mungkin yang menjurus kepada penyelesaian masalah di samping memastikan keselamatan semua pihak terjamin,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.

Sistem RFID menggunakan cip frekuensi radio yang terkan­dung dalam satu pelekat yang ditampal pada sesebuah kenderaan dan akan menggantikan pera­nan peranti tag pintar (Smarttag).

-BERNAMA


Pengarang :