AGENDANASIONAL

Kursus pengurusan kewangan peribadi perlu diwujudkan di IPT

KUALA LUMPUR, 31 JAN: Kursus pengurusan kewangan peribadi perlu diwujudkan dalam silibus pendidikan di institusi pengajian tinggi (IPT) negara ini sebagai persediaan buat golongan siswazah memasuki dunia pekerjaan.

Dekan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Mohamad Fazli Sabri berkata kursus berkenaan seterusnya perlu diwajibkan kepada semua pelajar daripada seluruh program yang ditawarkan di mana-mana IPT.

Beliau berkata ia penting memandangkan alam pekerjaan akan menjadi satu fasa yang memerlukan golongan ini menguruskan pendapatan serta sumber kewangan mereka sebaiknya selaras peningkatan kos sara hidup ketika ini.

“Soal pengurusan pendapatan ini berkait rapat dengan aspek gaya hidup. Jadi tempoh di universiti ini merupakan platform terbaik dalam kita memberi didikan dan pendedahan awal berkaitan simpanan, pelaburan, kredit, pengurusan harta dan pengurusan risiko.

“Ia penting dalam memastikan anak-anak ini kelak tidak terjebak menanggung krisis kewangan pada usia muda seperti berhutang melebihi 30 hingga 40 peratus pendapatan bulanan selain membantu membezakan perihal keperluan utama dan sekunder,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mohamad Fazli berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dapatan kaji selidik Pusat Penyelidikan Undian UCSI yang dikeluarkan hari ini berkaitan golongan belia dan keadaan hutang semasa mereka.

Kaji selidik terhadap 1,077 responden dalam lingkungan usia 18 hingga 40 tahun itu menunjukkan 73 peratus atau 786 individu ada membuat pinjaman dengan majoriti daripadanya didorong daripada kesempitan wang (42%) selain alasan inflasi (22%) dan pengaruh rakan-rakan (21%).

Walau bagaimanapun, kaji selidik sama menunjukkan sebilangan besar peminjam iaitu 83% atau 652 individu berupaya membayar pinjaman yang dilakukan tepat pada masanya.

Sementara itu Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi Mara Dr Zahariah Sahudin bersetuju dengan cadangan Mohamad Fazli yang disifatkan boleh dimulakan seawal peringkat sekolah rendah lagi.

“Ada baiknya kita mulakan kesedaran mengenai pengurusan kewangan ini dari sekolah rendah, diteruskan di peringkat sekolah menengah sebelum diperkasa dengan pemantapan serta pemahaman lebih mendalam di peringkat universiti.

“Untuk permulaan adalah disyorkan pihak universiti menggiat malah memperbanyakkan lagi program advokasi dan kesedaran pengurusan kewangan kepada pelajar mereka,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :