Hujan tidak menghalang orang ramai untuk membeli juadah berbuka puasa ketika tinjauan foto Bernama di Bazar Ramadan Putrajaya semalam. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

La Nina dijangka berterusan hingga Februari, bawa taburan hujan tinggi

Oleh FAIZAL NAZARUDDIN

SHAH ALAM, 3 JAN: Fenomena La Nina yang melanda negara ketika ini dijangkakan berterusan sehingga Februari.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan kitaran atmosfera di kawasan tropika konsisten dengan keadaan La Nina dengan kebarangkalian 50 peratus.

Dalam bulan ini, katanya, kebanyakan negeri di Semenanjung dijangka menerima taburan hujan dengan paras purata 50 hingga 400 milimeter (mm) .

“Selain itu, kebanyakan bahagian di Sarawak dijangka menerima jumlah hujan pada paras purata 250 hingga 800mm.

“Di Sabah dan Labuan turut dijangka bakal menerima jumlah hujan namun pada tahap yang lebih rendah iaitu 100 hingga 300mm,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, keadaan ini disebabkan negara berada dalam fasa Monsun Timur Laut (MTL) sejak November lalu dan dijangka berakhir pada Mac depan.

“Semasa tempoh MTL, negara akan menerima tiupan angin yang konsisten dari arah timur laut di antara 10 hingga 20 kilometer sejam dengan empat hingga enam episod luruan monsun dijangkakan berlaku dan menyebabkan ombak besar serta laut bergelora di Laut Cina Selatan,” ujarnya.

Beberapa siri hujan lebat yang menyeluruh juga dijangka akan berlaku terutama di negeri-negeri pantai timur Semenanjung, barat Sarawak dan utara Sabah.

Dalam pada itu, menurut publicinfobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran kategori intensiti hujan bagi 1-10mm adalah renyai, sederhana (11-30mm), lebat (31-60mm) dan sangat lebat (melebihi 60mm).


Pengarang :