Pengunjung membeli barangan pada program Jelajah Ehsana Rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru,Klang pada 26 Januari 2023. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Laluan khas warga emas mudahkan urusan pembelian di jualan murah

KLANG, 26 JAN: Laluan khas bagi warga emas pada program Jelajah Ehsan Rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru memudahkan golongan itu untuk membeli barangan.

Pegawai Khas kepada Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Mohamad Syafie Mohd Ali berkata inisiatif itu bagi membolehkan golongan berkenaan membeli tanpa perlu beratur lama.

“Kita buka dua laluan dan satu laluan dahulukan warga emas. Apabila selesai ia dibuka kepada orang awam pula.

“Ini bagi memudahkan warga emas yang sedia diketahui biasanya tidak larat berdiri lama untuk membeli barangan,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan di Dewan Meru di sini, hari ini.

Mohamad Syafie berkata PKPS menyediakan sebanyak 500 ekor ayam standard, daging pejal (300 pek), minyak masak 5 kg (150 botol), beras (300 kampit), ikan kembung (300 pek) dan telur (300 papan) pada program itu.

“Kesemua barang habis dalam masa satu jam setengah dengan kunjungan lebih 300 pengunjung pada program ini,” katanya.

Program itu menawarkan jualan ayam standard (RM10 seekor), telur ayam gred B (RM10 sepapan), daging pejal segar (RM10 per pek), minyak masak 5kg (RM25), beras 5kg (RM10) dan ikan (RM6 per pek).

Jualan itu yang berjaya memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor melalui siri jelajah di sekitar 56 DUN sebelum ini diteruskan hingga Mac depan.


Pengarang :