ADN Sungai Kandis Mohd Zawawi Ahmad Mughni (tengah) melakukan gimik perasmian sambutan Tahun Baharu Cina peringkat Dewan Undangan Negeri itu di Tasik Bandar Puteri Klang, Klang pada 29 Januari 2023. Foto Mohd Zawawi
AGENDANASIONAL

Lebih 1,000 meriahkan sambutan Tahun Baharu Cina DUN Sungai Kandis

SHAH ALAM, 30 JAN: Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis di Tasik Bandar Puteri Klang, Klang malam tadi berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 1,000 masyarakat berbilang bangsa.

Wakil rakyatnya Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata program dengan kerjasama pejabat ahli majlis dan 11 persatuan penduduk Bandar Puteri mampu merapatkan ukhuwah selain mengekalkan keharmonian kaum.

“Perpaduan dan keharmonian ini perlu kita kekalkan. Di setiap program perayaan di negara, kita hadir bersama tanda menghargai dan menghormati antara kaum.

“Terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan program ini. Semoga ukhuwah antara kaum di DUN Sungai Kandis terus kekal harmoni dan sejahtera,” katanya.

Pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang program antaranya, edaran angpau kepada kanak-kanak, gerai makanan dan minuman percuma serta cabutan bertuah.

Turut diadakan persembahan tarian singa yang menjadi simbol kebudayaan masyarakat Tionghoa, menggaul ‘yee sang’ dan pertunjukan bunga api.


Pengarang :