Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Sepat Borhan Aman Shah ketika ditemu bual media selepas program Jelajah Ehsan Rakyat mega DUN Tanjung Sepat di Dataran Batu Laut, Tanjung Sepat, Sepang pada 31 Disember 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih 10,000 penduduk Tanjong Sepat daftar perlindungan insurans percuma negeri

KUALA LANGAT, 1 JAN: Lebih 10,000 penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Sepat sudah mendaftar dalam skim Insurans Am Selangor (Insan) setakat ini.

Wakil rakyatnya Borhan Aman Shah berkata rakyat menyambut baik skim perlindungan insurans percuma sehingga RM10,000 ditawar Kerajaan Selangor selain menjangka jumlah itu meningkat dari semasa ke semasa.

“Kita buat hebahan berhubung skim Insan melalui ketua kampung, begitu juga kawasan masyarakat Cina dengan ahli majlis memainkan peranan supaya mereka didedahkan perlindungan insurans.

“Saya juga menggerakkan pasukan untuk membuka kaunter pendaftaran setiap kali program DUN bagi memudahkan orang kampung atau warga emas yang tidak celik teknologi maklumat (IT) dan tiada telefon pintar,” katanya ditemui di Dataran Pantai Batu Laut di sini semalam.

Bercakap selepas meninjau program Jualan Ehsan Rakyat (JER) mega, Borhan memberi jaminan masyarakat Orang Asli turut tidak ketinggalan daripada menikmati perlindungan insurans dengan kempen pendaftaran skim akan diperluas kepada golongan berkenaan.

“Kita akan beri fokus juga kepada Orang Asli memandangkan mereka ada masalah internet selain prasarana tidak lengkap. Malah malam ini (semalam) saya dijemput oleh masyarakat Orang Asli Kampung Tanjung Sepat untuk bersama menyambut tahun baharu.

“Justeru saya akan minta pasukan buka kaunter untuk mendaftarkan mereka,” kata EXCO Kerajaan Negeri itu yang berharap semua penduduk Tanjong Sepat berusia 30 hari sehingga 80 tahun berdaftar dalam skim itu.

Insan adalah polisi insurans kemalangan diri berkumpulan untuk penduduk berusia dalam kategori itu yang premiumnya ditanggung sepenuhnya Kerajaan Negeri.

Skim dengan nilai perlindungan RM60 bilion itu memberi perlindungan insurans sehingga RM10,000 bagi kes hilang keupayaan kekal dan kematian disebabkan kemalangan.

Pendaftaran melalui aplikasi Wavpay boleh dimuat turun di AppStore, Google Play atau Huawei App Gallery. Maklumat lanjut berhubung perkara itu boleh dibuat dengan melayari pautan programinsan.com .

Aplikasi Wavpay dibangunkan Wavpay Fintech Holding Sdn Bhd, sebuah syarikat dalam Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI yang berperanan sebagai pengendali perkhidmatan.


Pengarang :