Ahli Dewan Negeri Sentosa Dr G Gunarajah bergambar bersama sebahagian daripada tetamu yang hadir memeriahkan majlis Ponggal Perpaduan DUN Sentosa di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sentosa pada 29 Januari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Lebih 300 masyarakat berbilang kaum meriahkan Ponggal Perpaduan DUN Sentosa

KLANG, 29 JAN: Lebih 300 masyarakat berbilang kaum memeriahkan Ponggal Perpaduan anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa hari ini.

Wakil rakyatnya Dr G Gunaraj berkata pesta kebudayaan masyarakat India diraikan dalam suasana harmoni melalui pelaksanaan pelbagai aktiviti.

“Kita mengambil peluang meraikan bersama masyarakat setempat tidak kira Melayu, Cina atau India kerana ia merupakan perayaan bercirikan kebudayaan, bukan keagamaan.

“Ramai memberi sokongan dengan menyertai aktiviti yang disediakan. Kita bukan sahaja membuat pongal atas belanga tetapi ada banyak lagi acara tradisi lain,” katanya ditemui di perkarangan pusat khidmat masyarakat DUN Sentosa di sini.

Peserta berbilang kaum mengambil bahagian dalam pertandingan ponggal terpantas sempena Ponggal Perpaduan anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sentosa pada 29 Januari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Antara aktiviti dijalankan pertandingan pongal terpantas, periuk pongal berhias terbaik, anyaman thoranam, kolam, kolattam, saree drapping dan uriyadi.

Pada sebelah malam pula diadakan tarian tradisional, pertunjukan fesyen dan cabutan bertuah.

Sementara itu, pengunjung R Shamini, 44, mengakui gembira dengan penglibatan masyarakat pelbagai kaum dalam menjayakan program terbabit.

“Saya berada di sini sejak pagi, kebetulan anak saudara perempuan akan buat persembahan tarian klasik. Saya seronok tengok orang ramai turut serta dalam program ini walaupun berbeza agama dan budaya,” katanya.

Jennifer Lim Yoke Wei, 61, pula teruja kerana berpeluang merasai pengalaman memasak nasi dalam tembikar bersama kenalan India lain melalui pertandingan ponggal terpantas.

“Sebelum ini saya tidak pernah buat aktiviti ini, mula-mula terkejut juga memandangkan tidak tahu bagaimana cara masak tetapi saya cuba juga untuk suka-suka,” katanya.

Seorang lagi pengunjung Nur Ainun Mardhiah Jiman, 41, berkata perayaan ponggal memberi peluang buatnya mencuba aktiviti anyaman thoranam.

“Selama ini saya tidak pernah tahu anyaman thoranam ada banyak jenis iaitu untuk orang meninggal, sambutan dan kenduri. Saya puas hati dapat menyertai acara ini,” katanya.


Pengarang :