Majlis pelepasan peserta kayuhan dan larian disempurnakan Datuk Bandar Shah Alam Dr Nor Fuad Abdul Hamid dan turut dihadiri Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof pada program Hari Tanpa Kenderaan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 15 Januari 2023. Foto Facebook MBSA
PBTSELANGOR

Lebih 3,000 pengunjung meriahkan Hari Tanpa Kenderaan MBSA

SHAH ALAM, 16 JAN: Seramai 477 pengunjung terawal program Hari Tanpa Kenderaan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerima t-shirt percuma daripada pihak berkuasa tempatan itu semalam.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya Shahrin Ahmad berkata pemberian t-shirt itu sempena meraikan ulang tahun ketujuh program berkenaan.

“Pemberian baju percuma ini merupakan penghargaan MBSA kepada pengunjung yang setia bersama program ini sejak 2016 lagi.

“Sambutan menggalakkan dan lebih 3,000 pengunjung hadir memeriahkan program ini, terima kasih kepada semua yang sentiasa menyokong,” katanya kepada SelangorKini.

Datuk Bandar Shah Alam Dr Nor Fuad Abdul Hamid (tengah) bersama Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof (dua dari kanan) pada program Hari Tanpa Kenderaan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 15 Januari 2023. Foto Facebook MBSA

Program yang diadakan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam itu turut menyajikan pelbagai aktiviti menarik antaranya persembahan tarian singa sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Selain itu, Shahrin berkata seramai 40 penyumbang menyertai program ‘Eco Free Market’ iaitu aktiviti penyaluran dan edaran semula barangan terpakai secara percuma.

“Pengunjung hanya perlu membawa barangan kitar semula bagi mendapatkan kupon yang membolehkan mereka ambil barangan yang ditawarkan oleh penyumbang di ‘Eco Free Market’,” katanya.

Kanak-kanak menyertai pelbagai program yang diadakan pada Hari Tanpa Kenderaan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 15 Januari 2023. Foto Facebook MBSA

Pelbagai aktiviti menarik diadakan antaranya acara ‘Fun Run’, kayuhan santai, acara senamrobik, persembahan tarian kebudayaan, persembahan kombo MBSA dan penyampaian hadiah pakaian paling kreatif.

MBSA turut menyediakan aktiviti kepada kanak-kanak seperti inflatable balloon, badut, kereta lampu, aktiviti kraf di Perpustakaan Bergerak Anggerik Vanilla dan maskot super hero.

Pelbagai perkhidmatan turut disediakan seperti pengoperasian pejabat bergerak Shah Alam On Wheels, Perpustakaan Bergerak (Mobile Library) dan pameran SEDA-10 (cari dan musnah AEDES 10 Minit).


Pengarang :