Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) menyampaikan beg dan peralatan sekolah ketika program bantuan masuk sekolah ahli Tawas bagi sesi persekolahan darjah 1 tahun 2023 DUN Sungai Tua di Dewan Rakyat Batu Caves, Gombak pada 29 Januari 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Lebih 42,000 ahli Tawas terima bantuan sekolah, agihan jangka selesai Februari

GOMBAK, 29 JAN: Seramai 42,634 ahli Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) yang lahir pada 2016 menerima bantuan awal sesi persekolahan tahun ini.

Dato’ Menteri Besar berkata bantuan itu bagi meraikan penerima yang layak mendapat manfaat sempena sesi persekolahan baharu menjelang Mac nanti.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika program bantuan masuk sekolah ahli Tawas bagi sesi persekolahan darjah 1 tahun 2023 DUN Sungai Tua di Dewan Rakyat Batu Caves, Gombak pada 29 Januari 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Untuk hari ini sahaja, seramai 2,687 ahli di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) mendapat manfaat iaitu di Sungai Tua seramai 1,213 penerima, diikuti 776 Gombak Setia dan 698 di Taman Templer.

“Setiap tahun kita belanjakan RM1.4 juta kepada alumni Tawas setiap kali masuk darjah satu. Kita jangka agihan bantuan ini selesai pada Februari sebelum sesi persekolahan dibuka,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Terdahulu beliau menyampaikan bantuan tersebut kepada penerima berdaftar bawah tiga DUN terbabit di Dewan Rakyat Batu Caves di sini, hari ini.

Tambah Amirudin, ibu bapa atau penjaga boleh mengambil bantuan berkenaan di pusat khidmat masyarakat DUN masing-masing atau pejabat Tawas.

Ibu bapa hadir mengambil bantaun beg dan peralatan sekolah ketika program bantuan masuk sekolah ahli Tawas bagi sesi persekolahan darjah 1 tahun 2023 DUN Sungai Tua di Dewan Rakyat Batu Caves, Gombak pada 29 Januari 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Menerusi bantuan itu, ahli menerima peralatan persekolahan meliputi beg, alat tulis, bekas makanan, botol minuman, beg tuisyen, pelitup muka dan cecair pembasmi kuman bernilai RM50.

Tawas yang diuruskan Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) dilancarkan secara rasmi sempena sambutan Ambang Merdeka peringkat Selangor pada 30 Ogos 2008.

Program ini terbuka kepada anak kelahiran Selangor yang memenuhi syarat dan perlu dilakukan sebelum anak berusia tiga tahun dengan manfaat RM1,500 apabila mereka mencapai usia 18 tahun kelak.


Pengarang :