AGENDAJENAYAH

Lelaki curi bas mahu balik kampung ditahan polis selepas terbabas

MELAKA, 31 JAN: Tindakan penganggur melarikan sebuah bas sekolah untuk pulang ke kampung gagal apabila ditahan polis semalam.

Lelaki itu ditahan pada jam 5.45 petang di tepi Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) selepas bas dipandunya terbabas, kata Ketua Polis Daerah Melaka Tengah.

Asisten Komisioner Christopher Patit berkata sehari sebelum kejadian bas sekolah terbabit diletakkan di sebuah stesen minyak dekat Kampung Musai oleh pemiliknya berusia 68 tahun.

Bagaimanapun katanya kira-kira jam 5.30 petang semalam, warga emas itu melihat basnya bergerak keluar tetapi tidak mengesyaki apa-apa kerana menyangka adiknya memandu, lapor Berita Harian.

“Tidak lama selepas itu, dia dihubungi anaknya yang memaklumkan ada orang mencuri bas miliknya dan melarikan diri ke arah Lebuh AMJ Melaka Sentral.

“Dia bergegas keluar dan mengikut dari arah belakang sebelum bas itu tiba-tiba terbabas ke bahu jalan berhampiran Taman Malinja. Dengan bantuan orang awam dia berjaya menahan suspek,” katanya.

Akibat kejadian itu bas terbabit mengalami kerosakan yang dianggarkan kira-kira RM30,000.

“Siasatan awal mendapati suspek mendakwa dia hendak balik ke kampung di Kapar, Selangor dengan memandu bas sekolah itu.

“Semakan lanjut mendapati suspek sebelum ini turut mempunyai satu rekod lampau membabitkan kes cubaan melarikan kenderaan pada 2013,” katanya.

Christopher berkata suspek direman tiga hari sehingga Khamis ini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan.


Pengarang :