Anggota bomba melakukan pemeriksaan selepas dua kereta terbabas ke dalam parit berhampiran pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabak Bernam menghala ke Sungai Besar pada 7 Januari 2023. Foto JBPM SELANGOR
AGENDANASIONAL

Lelaki maut kereta dipandu terjunam dalam parit

SHAH ALAM, 7 JAN: Seorang lelaki maut selepas kereta Proton Preve dipandunya terjunam ke dalam parit berhampiran pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabak Bernam menghala ke Sungai Besar dekat sini hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor Datuk Norazam Khamis berkata kereta itu terbabas dan terjunam pada kedalaman 0.91 meter selepas dipercayai dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta Proton Saga yang dinaiki suami isteri berusia lingkungan 30-an.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kejadian pada 4.01 petang memaklumkan kedua-dua kenderaan itu terbabas dan terjatuh ke dalam parit tersebut.

“Anggota bomba yang tiba di lokasi enam minit kemudian mendapati ketiga-tiga mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam.

“Pemandu Proton Preve iaitu seorang lelaki tempatan berusia 30-an disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dan dipercayai lemas kerana terperangkap,” katanya dalam kenyataan.

Norazam berkata pasangan suami isteri itu yang tidak mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Sabak Bernam dengan ambulans manakala mayat pemandu Proton Preve diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

– BERNAMA


Pengarang :