Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Raub Selamat. Foto Facebook IPD Johor Bahru Selatan
AGENDANASIONAL

Lelaki OKU nak ke Lipis tetapi tertidur, sesat hingga ke laluan keluar Malaysia

JOHOR BAHRU, 24 JAN: Lelaki dewasa berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) dikesan berkeliaran di laluan pejalan kaki keluar Malaysia di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) kelmarin, kata Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan.

Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, lelaki berusia 35 tahun itu dikesan anggota polis Balai Polis BSI yang sedang bertugas membuat rondaan dan pemantauan pada jam 10.15 malam.

Beliau berkata anggota terbabit kemudiannya membawa lelaki itu ke Balai Polis BSI untuk tujuan dokumentasi, lapor Berita Harian.

“Hasil daripada proses dokumentasi yang dijalankan mendapati lelaki tersebut adalah OKU masalah pembelajaran.

“Lelaki berkenaan menyatakan beliau menaiki kereta api daripada stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Gemas, Negeri Sembilan untuk ke Lipis, Pahang.

“Namun sepanjang perjalanan, beliau tertidur dan terlajak sehingga ke Stesen KTM BSI, Johor Bahru,” katanya ketika dihubungi.

Raub berkata lelaki itu berjalan kaki menaiki tangga di JB Sentral dan terus melalui laluan pejalan kaki ke kaunter Imigresen keluar Malaysia.

Menurutnya tindakan pantas diambil oleh ketua polis balai BSI untuk mengesan waris lelaki berkenaan.

“Pada jam 2 petang tadi (semalam) lelaki OKU berkenaan diserahkan kepada bapa dan keluarganya yang tiba dari Seremban, Negeri Sembilan.

“Sepanjang lelaki OKU itu berada di BSI, pihak polis memberikan pertolongan dan kemudahan kepada lelaki tersebut seperti menyediakan tempat berehat, mandi, pakaian, makanan, minuman serta menghantar ke Stesen Bas Larkin untuk pulang ke Seremban bersama keluarganya,” katanya.


Pengarang :