Aksi pemain MBSJ FC (kiri) ketika menentang First 11 FC pada peringkat suku akhir Liga Super Wanita FAS di Radia Arena Bukit Jelutong pada 10 Januari 2022. Foto FAS
AGENDASUKANKINI

Liga Super Wanita FAS bermula 8 Februari, 12 pasukan berentap

SHAH ALAM, 12 JAN: Liga Super Wanita FAS kini kembali untuk edisi baharu dengan menyaksikan 12 pasukan akan berentap merebut gelaran juara.

Terbahagi kepada dua kumpulan, perlawanan peringkat berkumpulan itu bermula pada 8 Februari depan di Radia Arena Bukit Jelutong manakala bagi peringkat kalah mati di Arena Majlis Bandaraya Subang Jaya.

Setiausaha Agung FAS, Izrin Nabil berkata pasukan  yang akan kembali daripada edisi 2021 adalah juara kejohanan edisi pertama Negeri Sembilan Women’s FC (NSW FC), FC SWAT, SSS Leopard FC, MBSJ FC, Shah Alam United and UiTM Lioness.

“Manakala enam pasukan lagi yang membuat penampilan kali pertama ialah Kelana Unitedy, Sternen FC, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), PJ Kita FC, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Spicegals.

“Bagaimanapun, naib juara The Footsouls, Rhym Rovers, Radia Ladies dan First 11 FC tidak akan kembali untuk edisi kali ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, pihaknya komited untuk membangunkan bola sepak wanita dan berharap bilangan pasukan WSL lebih berkembang supaya lebih ramai dapat menyertainya.

Menerusi edisi sebelum ini, NSW FC melakar sejarah apabila menjuarai edisi sulung Liga Super Wanita FAS pada Januari tahun lalu yang disertai 10 pasukan.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan merasmikan liga terbabit yang membuka tirai pada 29 November 2021.


Pengarang :