NSW FC melakarkan kemenangan 3-0 ke atas SA United dalam saingan Kumpulan B pada 6 Disember 2021. Foto Facebook Persatuan Bola Sepak Selangor
AGENDASUKANKINI

Liga Super Wanita FAS: PJKITA FC buat penampilan sulung, yakin cipta kejutan

SUBANG JAYA, 25 JAN: Pasukan PJKITA FC yakin mampu memberi saingan kepada 11 pasukan lain yang berentap dalam Liga Super Wanita FAS edisi kedua bermula 8 Februari depan.

Pengurus PJKITA FC Intan Khairana Md Zali berkata biarpun pertama kali menyertai kejohanan, perkara itu bukan halangan kerana majoriti pemainnya berpengalaman dan pernah menyertai edisi pertama liga bersama pasukan lain.

Pengurus PJKITA FC Intan Khairana Md Zali.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“PJKITA FC seperti bayi dalam liga ini dan berada di kumpulan A bersama pasukan berpengalaman dan juara edisi pertama, pastinya beri saingan sengit.

“Namun, kita cuba bermain sebaik mungkin dan beri saingan kepada pasukan lain. Kita akan cuba melepasi saingan peringkat kumpulan,” katanya ditemui pada majlis undian Liga Super Wanita FAS 2023, malam tadi.

Sementara itu, juara kejohanan edisi pertama Negeri Sembilan Women’s FC (NSW FC) percaya mampu mengekalkan gelaran pada saingan musim baharu.

Setiausaha Eksekutif Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan Faliq Firdaus berkata keyakinan itu berdasarkan kemampuan pasukannya yang majoritinya pemain baharu dari negeri itu dan juga luar.

Setiausaha Eksekutif Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan Faliq Firdaus.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Kita berterima kasih atas jemputan pada edisi kedua sebagai juara bertahan dan menyahut cabaran ini dan pada masa sama tidak pandang remeh setiap pasukan bertanding.

“Kita mahu beri cabaran kepada setiap pasukan kerana tidak mahu sekadar menjadi pelengkap jadual. Kita optimis mampu bergelar juara untuk edisi kedua ini,” katanya.

Liga Super Wanita FAS yang kembali untuk edisi baharu menyaksikan 12 pasukan yang dibahagikan kepada dua kumpulan bakal berentap merebut gelaran juara.

Kumpulan A terdiri daripada FC Spicegals, MBSJ FC, NSW FC, Shah Alam United, PJKITA FC dan FC SWAT manakala kumpulan B pula Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) FC, UiTM Lioness, SSS Leopard FC, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Sternen FC dan Kelana United.

Perlawanan peringkat berkumpulan itu bermula pada 8 Februari depan di Radia Arena Bukit Jelutong manakala bagi peringkat kalah mati di Arena Majlis Bandaraya Subang Jaya.

Menerusi edisi sebelum ini, NSW FC melakar sejarah apabila menjuarai edisi sulung Liga Super Wanita FAS pada Januari tahun lalu yang disertai 10 pasukan.


Pengarang :