EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim bercakap dalam Forum Rancangan Selangor Pertama (Ekonomi) 2021-2025 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 7 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Lima projek SABDA dikenal pasti, mula laksana tahun ini

SHAH ALAM, 5 JAN: Kerajaan Selangor mengenal pasti lima projek berkaitan agropertanian dan pemprosesan makanan untuk dibangunkan di kawasan Sabak Bernam.

EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim berkata satu daripada projek Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) bermula tahun ini, sekali gus membuka banyak peluang ekonomi di daerah terbabit.

“Tapak (pembangunan) sudah dikenal pasti dan kita akan teruskan lagi perbincangan bagi merancakkan proses ini. Semua projek itu melibatkan agropertanian dan pemprosesan makanan.

“Dijangka sekurang-kurangnya satu (projek) akan bermula tahun ini kerana SABDA merupakan projek yang agak besar dan memerlukan sedikit masa untuk dimuktamadkan,” katanya ketika dihubungi.

Jelas Chang Khim, projek berkaitan dibangunkan melalui kerjasama pihak swasta dengan menumpukan industri berasaskan kekuatan daerah terbabit.

“Sabak Bernam merupakan daerah dengan aktiviti ekonomi utamanya adalah pertanian. Oleh itu kita menggunakan kekuatan ini untuk bangunkan ekonomi di kawasan berkenaan,” katanya.

SABDA antara agenda terkandung dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang diumum Julai tahun lalu membabitkan pembangunan tanaman bernilai tinggi melalui penggunaan teknologi.

Pembangunan berkeluasan 1,317 hektar dengan nilai pelaburan RM1.9 bilion dianggar memberi pulangan hasil RM248 juta setahun.


Pengarang :