Orang ramai melihat perlumbaan drift di litar APDCrew Circuit, Serdang pada 31 Disember 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Litar APDCrew medan latih pelumba profesional, cungkil bakat baharu

Oleh AZIAN AZIZ

SUBANG JAYA, 1 JAN: Litar APDCrew di Institut Penyelidikan dan kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di sini bakal menjadi medan latihan pelumba profesional dan mencungkil bakat baharu.

Pengarahnya Halmi Khalid berkata litar berkenaan menawarkan persekitaran yang sesuai dan selamat untuk acara sukan permotoran dan automotif.

Pengarah Litar APDCrew Halim Khalid. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Kami mendapat kontrak sewaan litar ini selama tiga tahun dengan MARDI dan setakat ini 75 peratus kemudahan yang disediakan untuk penonton telah siap.

“Kini kami sedang menyiapkan gazebo dua tingkat yang lengkap bagi menambah keselesaan penonton,’’ katanya selepas acara perasmian semalam.

Terdahulu litar berkenaan disempurnakan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Perlumbaan Drift Litar APDCrew melibatkan 32 pelumba profesional dari dalam dan luar negara membuka tirai aktiviti perlumbaan sempena majlis perasmian litar berkenaan.

Antara nama besar yang hadir termasuklah ikon sukan permotoran dari Jepun Atsushi Taniguchi (pengadil), juara Grand Prix Jepun Masashi Yokoi (pengadil), pelumba Indonesia Akhbar Raif dan pelumba negara Amirul Taufik.

Perlumbaan yang terbahagi kepada kategori Expert dan Novice itu menawarkan sebuah motosikal Modenas Kriss dan wang tunai RM3,000.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama pelumba drift Fazreen Ismail (kiri) selepas merasmikan Litar APDCrew di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Serdang pada 31 Disember 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Halmi memberitahu, litar ini boleh digunakan untuk pelbagai acara sukan permotoran antaranya drift, motocross, lumba motosikal, go-kart dan autocross.

“Kami mengalu-alukan peminat sukan permotoran untuk berlatih di sini kerana tempat ini bukan sahaja digunakan oleh pemain profesional tetapi juga untuk mencungkil bakat baharu sukan permotoran.

“Kami yakin dalam tempoh enam bulan pelumba yang dilatih di sini berpeluang menyertai pertandingan antarabangsa,” katanya yang turut memaklumkan bakal menganjurkan Perlumbaan Drift Piala Asia  melibatkan 14 negara di litar berkenaan pada Mei.


Pengarang :