Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang Hee Loy Sian (dua, kanan) mendegar penerangan wakil dari Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) bagi menyelesaikan isu lori keluar dan masuk ke kuari menggunakan jalan perumahan yang menyebabkan kerosakan jalan dan kemalangan di Bandar Mahkota Cheras, Kajang pada 5 Januari 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Lori kuari digesa guna laluan alternatif, elak sesak di Bandar Mahkota Cheras

Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

KAJANG, 5 JAN: Lori kuari dilarang menggunakan Jalan Persiaran Mahkota Cheras 1, Bandar Mahkota Cheras berkuat kuasa serta-merta, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang.

Hee Loy Sian berkata ketetapan itu dibuat bagi menjamin keselamatan penduduk susulan aduan mereka berhubung kesesakan lalu lintas, jalan rosak serta kemalangan maut di kawasan berkenaan.

Sehubungan itu, katanya, pihak terlibat dicadangkan menggunakan jalan sebelah Hulu Langat sebagai laluan alternatif.

“Hari ini kita panggil semua pihak termasuk Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Pejabat Tanah Daerah Hulu Langat dan wakil syarikat kuari meninjau sekali gus MPKj memutuskan supaya jalan ini tidak lagi boleh digunakan pihak kuari.

“Masalah ini sudah berlarutan sejak lima tahun. Kerosakan jalan kerap kali berlaku selain kemalangan melibatkan kehilangan nyawa. Selain lori kuari ada projek perpaipan dibuat iaitu projek Langat 2 dan IWSS (pemasangan paip air bersepadu) di kawasan ini.

“Sebelum ini kita tidak dapat selesaikan kerana tidak dapat mengenal pasti siapa yang rosakkan jalan. Jadi MPKj terpaksa juga turap kerana ada aduan. Sekarang dua projek perpaipan itu sudah selesai dan hanya tinggal kuari,” katanya selepas tinjauan isu berkenaan di Bandar Mahkota Cheras hari ini.

EXCO Kerajaan Negeri itu berkata MPKj membelanjakan RM2 juta setiap tahun bagi penurapan jalan rosak di kawasan berkenaan.

“Jalan asal ini merupakan jalan taman dengan had muatan kenderaan dua tan, tapi lori kuari ini lebih 30 tan dengan kira-kira 100 lori melaluinya setiap hari menyebabkan kerosakan jalan.

“Setakat ini ada empat kuari (diberi permit kerja tanah di kawasan berkenaan) tiga guna jalan di sebelah Hulu Langat, hanya satu guna jalan ini yang membahayakan kepada pengguna,” katanya.

“Jadi kita cadangkan semua guna jalan sebelah sana (Hulu Langat), bukan guna jalan keluar masuk di Bandar Mahkota Cheras dan juga Sungai Long,” katanya.


Pengarang :