Pelukis Salyuddin Yusof bersama lukisan beliau pada Pameran Terbuka Galeri Shah Alam (PTGSA 22) di Galeri Shah Alam pada 10 Januari 2023.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Konsep lukisan zaman purba Mesir menang Anugerah Insentif Pameran Terbuka Shah Alam

SHAH ALAM, 10 JAN: Idea unik seorang pelukis menggunakan konsep lukisan zaman purba Mesir membuahkan hasil apabila beliau terpilih memenangi Anugerah Insentif Pameran Terbuka Shah Alam.

Salyuddin Yusof, 47, berkata beliau mengolah kreativiti tersebut bagi memaparkan gambaran kehidupan zaman sekarang menerusi lukisan bertajuk ‘Imaginasi Pintar + Komunikasi’.

Bagi menarik perhatian juri, Salyuddin juga mengadaptasi aplikasi khas di telefon bimbit bagi membolehkan orang ramai melihat kombinasi sebenar warna yang digunakan pada lukisan tersebut.

“Karya saya membawa maksud gambaran simbol yang kita gunakan dalam telefon pintar. Ada mesej tertentu yang ingin saya tonjolkan.

“Saya juga menggunakan warna biru yang dipanggil foto negatif. Untuk lihat kombinasi warna sebenar lukisan tersebut, perlu muat turut aplikasi ‘Photo Negative Scanner’ di telefon bimbit,” katanya ketika ditemui Selangorkini.

Pelukis Nurain Fatini Abd Jalil menunjukkan hasil seni beliau pada Pameran Terbuka Galeri Shah Alam (PTGSA 22) di Galeri Shah Alam pada 10 Januari 2023.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Salyuddin yang juga bekas pereka grafik selama 20 tahun adalah antara lima pemenang Anugerah Insentif Pameran Terbuka Shah Alam anjuran Galeri Shah Alam serta wang tunai RM2,500.

Sementara itu, Nurain Fatini Abdul Jalil, 23, tidak menyangka karyanya yang bertajuk ‘Thank You’ terpilih memenangi anugerah tersebut.

Pelajar semester lima ijazah sarjana muda seni halus di Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu menganggap kemenangannya sebagai pemangkin untuk menjadi artis sepenuh masa selepas tamat pengajian.

“Idea ini menggunakan hanya dua barang sahaja. Saya mengetangahkan idea realistik kerana ia memainkan peranan bayangan dan penyerlah,” katanya.

Karya Nurain dan Salyuddin dipamerkan dalam Pameran Terbuka Galeri Shah Alam 2022 (PTGSA22) sehingga 31 Januari ini.


Pengarang :