Kuantan Art Street yang sering menjadi tumpuan orang ramai terutama pada cuti hujung minggu kelihatan lengang ekoran hujan sepanjang hari ketika tinjauan pada 11 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Luruan monsun bawa hujan berterusan dijangka landa timur Semenanjung mulai esok

KUALA LUMPUR, 18 JAN: Luruan monsun dijangka berlaku di timur Semenanjung bermula esok hingga 23 Jan ini dan berpotensi membawa hujan berterusan di kawasan yang terlibat.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata jabatan itu telah mengeluarkan amaran hujan berterusan kepada negeri yang terbabit iaitu Johor, Pahang, Kelantan dan Terengganu berkuat kuasa dari esok hingga 22 Januari.

“Sementara itu, ribut petir dan hujan lebat berserta angin kencang dijangka berlaku di pedalaman dan barat Semenanjung, tengah dan barat Sarawak serta barat Sabah pada sebelah petang dan awal malam dalam tempoh ramalan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa amaran angin kencang dan laut bergelora bagi perairan Laut China Selatan dikeluarkan berkuat kuasa sehingga 23 Januari.

Orang awam dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial agensi itu serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih. – BERNAMA


Pengarang :