Tangkap layar Facebook I Love Tanjong Karang yang tular mengenai rumah yang disewa asnaf ditinggalkan dalam keadaan kotor dan tidak terurus di Tanjung Karang. Foto Facebook LZS
AGENSISELANGOR

LZS nasihat asnaf terima bantuan sewa rumah jaga kediaman

Oleh FAIZAL NAZARUDDIN

SHAH ALAM, 3 JAN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menasihati asnaf yang menerima bantuan sewa rumah bertanggungjawab menjaga kediaman diduduki.

Agensi itu berkata pihaknya amat kesal dengan kisah sebuah keluarga asnaf yang meninggalkan kediaman dalam keadaan kotor dan tidak terurus di Tanjong Karang.

“Tindakan menganiaya pemilik rumah sewa ini akan menyebabkan asnaf lain sukar untuk menyewa pada masa hadapan,” katanya menerusi Facebook.

LZS mengulas gambar tular di Facebook I Love Tanjong Karang berkaitan rumah yang disewa asnaf ditinggalkan tanpa membayar bil, sampah bertaburan dan tidak menjawab panggilan tuan rumah.

Agensi juga meminta pemilik rumah berkenaan membuat aduan rasmi kepada pihaknya bagi menghentikan bantuan sewa memandangkan keluarga terbabit tidak lagi menetap di situ.

Tambahnya, lebih 16,000 keluarga asnaf fakir, miskin dan mualaf di Selangor menerima bantuan sewa rumah yang disalur terus ke akaun pemilik rumah.


Pengarang :