Mufti Selangor Dato’ Setia Dr Anhar Opir (dua, kiri), Mufti Terengganu Dr Mohamad Sabri Haron (dua, kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor Mohd Sabirin Mohd Sarbini (kiri) melawat Pusat Inovasi dan Pembelajaran Al-Biruni Zakat Selangor di Pangsapuri Enggang, Bandar Kinrara pada 13 Januari 2023.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

LZS sasar buka lebih banyak pusat akademik, elak anak miskin bandar tercicir

Oleh Diana Abd Wahab

PUCHONG, 13 JAN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyasarkan untuk membuka dua lagi Pusat Inovasi dan Pembelajaran Al-Biruni khusus untuk kanak-kanak asnaf serta miskin bandar di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata usaha tersebut bertujuan memperkasa pendidikan dalam kalangan golongan berkenaan sekali gus mengurangkan masalah sosial.

“Pusat Inovasi dan Pembelajaran Al-Biruni Zakat Selangor menyediakan  bantuan akademik bagi golongan tersebut. Kita rancang untuk buka di Selayang dan satu lagi lokasi sedang dikenal pasti.

“Selain bergantung kepada sumbangan rakan strategik, kita juga akan lihat keperluan kawasan dan prestasi ketiga-tiga pusat Al-Biruni Zakat Selangor terlebih dahulu,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis perasmian Pusat Inovasi dan Pembelajaran Al-Biruni Zakat Selangor yang ketiga di Pangsapuri Enggang, Bandar Kinrara, hari ini. Hadir sama Mufti Selangor Dato’ Setia Dr Anhar Opir dan Mufti Terengganu Dr Mohamad Sabri Haron.

Kanak-kanak melakukan pelbagai aktiviti di Pusat Inovasi dan Pembelajaran Al-Biruni Zakat Selangor di Pangsapuri Enggang, Bandar Kinrara pada 13 Januari 2023.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Mohd Sabirin berkata Al-Biruni Zakat Selangor turut beroperasi di PPR Desa Mentari dan Tanjong Karang dengan kerjasama rakan strategiknya ADAB Youth Garage (AYG) untuk membantu anak-anak asnaf yang tercicir pelajaran.

Al-Biruni Zakat Selangor adalah projek perintis LZS, di bawah Program Pembangunan Kanak-kanak Miskin Bandar sebagai langkah untuk menyantuni masyarakat miskin bandar.

Projek ini bertitik tolak laporan kaji selidik yang diterbitkan oleh Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa bersatu (UNICEF) pada Februari 2018 bertajuk ‘Kanak-kanak Pinggiran’ berkisar masalah kemiskinan kanak-kanak bandar di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.


Pengarang :