Kakitangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) membantu memasang katil hospital untuk kegunaan Arina Batrisyia Sazalee, 14, di rumahnya di Taman Kuala Selangor Utama, Kuala Selangor pada 18 Januari 2023. Foto Facebook LZS
AGENSISELANGOR

LZS sumbang katil, kerusi roda kepada remaja sakit tulang belakang

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 19 JAN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyumbangkan katil hospital dan kerusi roda kepada remaja penghidap sakit tulang belakang yang baru menjalani pembedahan.

Ketua Divisyen Komunikasi Korporat LZS berkata pihaknya menyerahkan sumbangan tersebut kepada Arina Batrisyia Sazalee, 14, di rumah keluarganya di Taman Kuala Selangor Utama, Kuala Selangor, semalam.

“Keluarga remaja ini merupakan asnaf yang mendaftar dengan LZS.

“Sumbangan ini bagi membantu meringankan beban pesakit yang menjalani pembedahan di Hospital Sungai Buloh pada 21 Disember lalu dan keluarganya,” kata Datin Norajun Ainun Mohd Hashim ketika dihubungi hari ini.

Kakitangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyerahkan kerusi roda untuk kegunaan Arina Batrisyia Sazalee, 14, di rumahnya di Taman Kuala Selangor Utama, Kuala Selangor pada 18 Januari 2023. Foto Facebook LZS

Norajun Ainun berkata sebelum ini remaja berkenaan belajar di Sekolah Sains Kuala Selangor.

“Oleh kerana tidak berupaya naik tangga ke kelasnya di tingkat tiga, remaja ini terpaksa bertukar ke sekolah harian biasa di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Selangor yang kelasnya di tingkat bawah,” katanya.


Pengarang :