AGENSISELANGOR

Mais buka permohonan tauliah mengajar 1 Mac depan

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 28 JAN: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) membuka permohonan tauliah mengajar di negeri ini pada 1 Mac depan.

Agensi itu memaklumkan permohonan memperbaharui tauliah mengajar juga dimulakan pada 24 Februari.

“Permohonan boleh dibuat melalui Perkhidmatan Digital Pengurusan Tauliah Mengajar Negeri Selangor di pautan etauliah.mais.gov.my .

“Tarikh tutup bagi memperbaharui tauliah mengajar ialah pada 30 Jun depan,” katanya melalui Facebook.

Menurut agensi itu, pemohon akan dipanggil untuk sesi ujian bertulis dan jika lulus akan ditemu duga Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Selangor diikuti beberapa penelitian termasuk aspek keselamatan sebelum keputusan dibuat.

Katanya, tauliah dikeluarkan sah dalam tempoh lima tahun dan jawatankuasa berkaitan berhak menggantung atau menamatkan lebih awal tempoh tauliah tersebut.

“Pemegang tauliah pula perlu memperbaharuinya enam bulan sebelum tamat tempoh.

“Mengajar tanpa tauliah boleh didakwa di bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 Pindaan 2016 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,’’ katanya.


Pengarang :