Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof melancarkan portal e-Edisi di Auditorium Dahlia, Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Masjid Negeri, Shah Alam pada 27 Januari 2023. Hadir sama Setiausaha Mais Dr Ahmad Shahir Makhtar (kanan). Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Mais lancar portal e-Edisi, papar mesej dakwah dan isu dekat dengan masyarakat

SHAH ALAM, 27 JAN: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) melancarkan portal e-Edisi bagi membudayakan transformasi digital seiring perkembangan teknologi masa kini.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata e-Edisi merupakan portal buletin perkhidmatan yang memaparkan isu semasa terutama berkaitan hal ehwal Islam secara amnya.

“Mais juga tidak mahu ketinggalan dalam mengejar arus kemodenan. Justeru, kita lancarkan portal ini bagi mendekatkan lagi dengan semua pihak.

“Portal ini juga akan menjadi medan untuk menyampaikan mesej dakwah secara ilmiah kepada masyarakat,” katanya pada Majlis Perutusan Pengerusi Mais 2023 di Masjid Negeri hari ini.

Portal e-Edisi mengandungi ruangan Fokus, GenQ, Fiqh Kontemporari, Artikel Khas, Jendela Mahkamah, Viral Kini dan pelbagai lagi yang boleh dilayari melalui www.mais.gov.my/e-edisi.


Pengarang :