Pengarah Baitumal Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Ustaz Indera Shahril Mohd Shahid (bersongkok) dan Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) Zainal Said bergambar ketika lawatan Mais ke pejabat Mains di Negeri Sembilan pada 17 Januari 2023. Foto Facebook Mais
AGENSISELANGOR

Mais, Mains bakal jalin kerjasama sebar luas dakwah pengurusan harta

OLEH AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 22 JAN: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) bakal menjalankan kerjasama strategik dalam menyebar luas dakwah berkenaan Pengurusan Harta Orang Islam.

Agensi itu memberitahu menerusi Facebook, kerjasama tersebut dibincangkan semasa lawatan pihak pengurusan Bahagian Harta Baitumal Mais ke pejabat Mains pada 17 Januari lalu.

“Dalam lawatan yang diketuai Pengarah Baitumal Ustaz Indera Shahril Mohd Shahid, Mais turut berkongsi maklumat mengenai proses pelaksanaan wasiat dan hibah secara dalam talian melalui Sistem Wasiat dan Hibah (Siswa),” katanya.

Sehubungan itu, Mais berharap kerjasama ini dapat diteruskan bagi membantu umat Islam dalam merancang dan menguruskan harta dengan baik mengikut Hukum Syarak serta menaikkan kredibiliti institusi agama demi kepentingan ummah.

Siswa dilancarkan pada Jun tahun lalu bagi membolehkan umat Islam membuat permohonan dan mendapat kelulusan secara dalam talian selain menawarkan penggunaan Electronik Know Your Customer (EKYC) yang diiktiraf oleh Bank Negara Malaysia.

Selain itu, SISWA juga menggunakan tandatangan digital yang tertakluk di bawah Akta Tandatangan Digital 1997 dan pengesahan transaksi oleh pemohon, dilakukan secara One-Time Password (OTP).

Dalam pada itu, orang ramai yang ingin merancang dan mengurus pembahagian harta bersama Baitulmal Mais boleh melayari pautan untuk permohonan wasiat atau hibah iaitu https://siswa.mais.gov.my


Pengarang :