Antara ahli kariah yang hadir pada Program Le Tour D’Masjid sempena Program Penghayatan Bulan Mualaf 2022 di Masjid Al-Munawwarah, Seksyen 27 pada 5 Julai 2022. Foto Facebook Mais
AGENSISELANGOR

Mais sedia 36 pusat pengislaman, pendaftaran mualaf

Oleh Suhaila Shahrul Annuar

SHAH ALAM, 2 JAN: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyediakan sebanyak 36 pusat pengurusan pengislaman bagi memudahkan proses memeluk Islam dan pendaftaran mualaf.

Eksekutif bahagian pendaftaran mualaf dan pembangunannya berkata pusat itu bertanggungjawab membantu dan memberi khidmat nasihat kepada individu yang berhasrat memeluk Islam dengan suci hati serta atas kerelaan sendiri.

“Antara kepentingan pendaftaran di agensi agama adalah untuk mewujudkan komunikasi mesra antara kedua belah pihak.

“Bagi individu di luar sana yang ingin atau berminat dengan Islam, hadirlah ke mana-mana pusat pengurusan pengislaman Mais untuk melafazkan syahadah melalui proses pengislaman yang betul. Lafazkan syahadah dan dapatkan maklumat yang tepat, diislamkan dan didaftarkan pengislamannya,” kata Che Mohd Noor Lee Abdullah.

Selain itu, beliau berkata Mais juga memperkenalkan i-Muallaf iaitu sistem pendaftaran dalam talian untuk mualaf baharu.

“Segala maklumat mualaf yang sah ini turut boleh diakses Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk urusan pendidikan dan kebajikan mualaf.

“Bermula 2017 seramai 1,700 orang didaftarkan pengislaman di Mais, 1,731 (2018), 1,922 (2019), 1,559 (2020) dan 1,327 (2021). Pada 2020 dan 2021 menunjukkan penurunan mungkin kerana faktor pandemik Covid-19,” katanya.

 


Pengarang :