Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof melepaskan konvoi Misi Prihatin Mangsa Banjir ke Terengganu dan Kelantan di Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam pada 8 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSI SELANGOR

Mais sumbang RM200,000, bantu ringan beban mangsa banjir Kelantan, Terengganu

SHAH ALAM, 8 JAN: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyumbang RM200,000 kepada Kelantan dan Terengganu sebagai tanda keprihatinan dengan mangsa banjir di dua negeri tersebut.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata setiap negeri masing-masing menerima RM100,000 dalam bentuk wang tunai RM50,000 dan 500 pek makanan seperti beras, tepung, minyak dan gula.

“Sumbangan yang diberikan ini meliputi peruntukan daripada Baitulmal Mais, Perbadanan Wakaf Selangor, Universiti Islam Selangor, Yayasan Islam Darul Ehsan, Bakti Suci Holdings Sdn Bhd dan Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd.

“Ini merupakan tradisi Mais apabila ada sahabat dari negeri lain mengalami kesusahan seperti banjir, tanah runtuh atau kemalangan kita akan bantu seperti mana Selangor juga pernah menerima bantuan ketika dilanda banjir 2021,” katanya.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Dr Ahmad Shahir Makhtar memegang cek cura serta bergambar bersama peserta konvoi Misi Prihatin Mangsa Banjir ke Terengganu dan Kelantan di Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam pada 8 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian selepas melepaskan konvoi Misi Prihatin Mangsa Banjir ke Kelantan dan Terengganu di Bangunan Sultan Idris Shah di sini hari ini. Turut hadir Setiausaha Mais Dr Ahmad Shahir Makhtar.

Abdul Aziz berkata sumbangan itu diserahkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan serta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu.

Sebelum ini, Mais menyumbang RM300,000 kepada penduduk Kelantan dan Terengganu yang terkesan banjir pada Mac tahun lalu sebagai tanda solidariti antara majlis agama Islam negeri-negeri bagi menyantuni mangsa banjir.

Bantuan dana melibatkan Baitulmal Mais dan Lembaga Zakat Selangor manakala Yayasan Islam Darul Ehsan dan Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd membekalkan pek makanan asas.


Pengarang :