Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof bercakap kepada media selepas Majlis Perutusan Pengerusi Mais 2023 di Auditorium Dahlia, Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Negeri, Shah Alam pada 27 Januari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Mais teliti larangan beri ubat cegah HIV pasangan hubungan sejenis

SHAH ALAM, 27 JAN: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) senada dengan Jabatan Mufti negeri yang melarang pemberian ubat PrEP (Pre-Exposure prophylaxis) kepada pasangan hubungan sejenis (homoseksual) bagi mencegah HIV.

Pengerusi Mais, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor akan bersidang bagi meneliti sebarang kemungkinan sebelum mewartakan larangannya.

“Apabila diadakan ubat seolah-olah hubungan itu selamat, kita tidak akan setuju. Ia seperti kita galakkan pula homoseksual kepada mereka.

“Pihak jawatankuasa fatwa dan yang melibatkan undang-undang akan mengkaji perkara itu. Tapi prinsip asasnya, untuk menggalakkan perbuatan tak senonoh homoseksual, ia di luar tabii manusia.

“Kita akan kaji perkara itu dan akan keluarkan kenyataan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perutusan Pengerusi Mais 2023 di Masjid Negeri di sini hari ini.

Jabatan Mufti Negeri Selangor sebelum ini melarang pemberian ubat PrEP kepada pasangan homoseksual dan ia hanya diharuskan kepada pasangan suami isteri.

Pada 12 Disember tahun lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) dilaporkan akan melakukan projek rintis penggunaan ubat PrEP di beberapa hospital bagi menilai keberkesanan dan keselamatannya dalam mengurangkan risiko penularan jangkitan HIV.


Pengarang :