BUDAYARENCANA

Maka hari ini kita kehilangan lidah

Oleh Nasser Mikraj

Ilustrasi FAHMI MUSTAFFA

 

Heboh di bilik guru, anak Cikgu Sarah kehilangan lidah. Udara yang dibelasah pendingin hawa terhuyung-hayang sebelum kembali normal keluar masuk di rongga. Suasana kaku dan keliru. Cikgu Sarah meraup muka. Rona yang mabuk antara amarah, buntu dan kecewa seperti lidah api yang cuba menjelir keluar dari jemarinya.

Saya cuba mendapatkan penjelasan dari Abang Nan di meja sebelah. Beliau mengangkat bahu dan mengelipkan mata sebagai isyarat jangan dulu bertanya apa-apa. Saya diam dan memerhati mereka yang lain dalam bilik guru juga sedang mengamankan rasa ingin tahu yang mahu segera gelojoh melampiaskan tanda tanya. Rasa itu kian membelon di udara. Saya tahu bila-bila masa ianya akan meletup dan poppp ia benar-benar berlaku apabila Ustazah Naz yang baru saja menapak masuk bertanya polos.

“Macam mana boleh hilang?”

Semua kepala di bilik guru tegak seperti sekumpulan rakun yang dibidik lampu suluh ketika ketahuan menggeledah rumah sampah di malam hari.

Cikgu Sarah mengangkat muka. Keliru dan buntu menjadi seperti kepala air yang menghentam penglihatan kami. Kepala-kepala yang tegak tadi gesit pula menguncup seperti kepala kura-kura masuk kembali dalam cengkerang. Melihat reaksi Cikgu Sarah, Ustazah Naz tersipu lalu berjalan pantas ke mejanya. Saya bingkas keluar sambil mengheret sama pertanyaan Ustazah Naz yang mula tercungap-cungap di tengah bilik guru.

“Ya, macam mana boleh hilang?”

Di luar, pertanyaan itu menjadi pepejal yang melantun tinggi ke udara seolah-olah bersedia menjadi bola tanggung kepada sesiapa sahaja tetapi saya tidak berminat untuk melibasnya jatuh. Deringan loceng menandakan waktu rehat menghambat pertanyaan itu bertempiaran entah ke mana.

Antara murid yang berpusu-pusu ke kantin, saya mencari wajah anak Cikgu Sarah. Matanya yang galak dengan warna kulit putih melepak itu mudah dikenal. Melihatnya sudah ikut beratur di kantin, saya mendekatinya. Namun seperti mengetahui niat saya, anak Cikgu Sarah keluar dari barisan dan menghilang di antara murid-murid. Dari kejauhan saya mendengar rungutannya dilambung angin.

“Why teacher want to chase me?”

Saya terumbang-umbang dalam lautan keriuhan. Suara sapaan selamat pagi dan kacak oh cikgu hari ini bersilih-ganti mengetuk pendengaran. Dering lonceng menandakan waktu rehat tamat kembali mengheret pertanyaan yang menghilang tadi biarpun fizikalnya mula berbeza.

“Sebenarnya apa yang hilang?”

Pertanyaan itu kekal misteri apabila sehingga pulang, anak Cikgu Sarah tidak memunculkan diri malahan Cikgu Sarah sendiri sudah memohon cuti untuk seminggu. Di bilik guru, iklimnya juga sudah berubah. Kes anak Cikgu Sarah hilang lidah perlahan ditimbun beban kerja itu ini dari pejabat pendidikan. Makhluk-makhluk seperti PAK21, KBAT, EMK dan segala macam entiti disumbat sekali gus untuk belajar bersama murid seterusnya membuli guru dan ibu bapa sebelum menuding jari pada keterumbang-ambingan sistem.

Melaluinya juga, manusia-manusia seperti karakter sloth dalam Zootopia akan muncul pula meminta laporan itu ini dengan dateline 24 jam sebelum membiarkannya di laci meja untuk ribuan tahun. Ketika lawatan pihak atasan, skrip ‘boleh hantar semula laporan’ akan kembali terkinja-kinja dalam WhatsApp. Paling penting, laporan harus suci murni biarpun kebobrokan telah buncit melahap murid.

Saya memandang Abang Nan yang sekali lagi mengangkat bahu dan mengelipkan mata sebagai isyarat jangan banyak tanya, buat saja kerja.

Keesokan hari, bilik guru kembali heboh apabila anak Dr. Naim, pegawai di pejabat pula kehilangan lidah. Masing-masing mula berdebar melihat paparan Dr. Naim is typing dalam grup WhatsApp PIBG. Lama dan panjang. Saya meneka abjad-abjad liar dengan fizikal huruf besar semuanya akan dilepaskan. Namun tekaan saya meleset apabila paparan Dr. Naim is typing terhenti namun tiada sebarang mesej yang diapungkan.

“Macam mana boleh hilang?”

Ustazah Naz sekali lagi memainkan peranannya seperti libero yang mengangkat servis laju berupa pertanyaan kepada semua yang ada di bilik guru. Semua saling berpandangan. Lama dan panjang sebelum kembali dipukau arahan kerja seterusnya dari pejabat. Khabar kehilangan lidah anak murid dipaksa menjadi perkara nombor 1031. Banyak sambutan hari itu hari ini perlu diraikan. Banyak pertandingan yang itu yang ini perlu disertai. Banyak lawatan tentang itu tentang ini perlu disempurnakan instrumennya.

Tanpa dipandang pun, Abang Nan tetap mengangkat bahu tetapi saya bergegas ke kelas sebelum dia sempat mengelipkan mata. Menuju kelas, saya singgah sebentar di kelas yang menempatkan anak Dr. Naim.

“Mana si anu… errr si Farith anak Dr Naim tu?,” Semua mata seperti muncung AK47 yang sedia membidik saya di pintu.

“Hampir tujuh bulan sudah tu tidak pernah hadir cikgu,” Ketua kelas lebih dulu melaporkan.

“Ya cikgu. Malas kami dengan dia tu cikgu. Yes no yes no saja yang kami faham dari apa dia cakap.”

“Ya bah cikgu. Anu tu dia…”

Ah sudah. Saya beredar segera sebelum cakap-cakap murid lain menjadi kepingan domino yang jatuhannya nanti turut menghempap saya. Namun percakapan mereka itu mengekori saya dari belakang lalu sibuk berbisik-bisik tentang bagaimana gelojohnya trend ibu bapa yang mengajar anak berbahasa Inggeris sehingga tidak tahu langsung bercakap dalam bahasa ibunda.

Setibanya di kelas, ada rasa aneh yang menyambut saya. Saya mula cega. Apakah situasi kehilangan lidah juga berlaku di kelas ini? Saya memerhatikan mulut mereka ketika mengucapkan selamat dan membaca doa. Tiada masalah. Lidah mereka masih berbaring elok pada tempatnya. Belum berpuas hati, saya memeriksa sekali lagi mulut mereka satu persatu sehingga tiba pada Aril di meja paling belakang. Aril bingkas menekupkan mulutnya. Air mukanya sekonyong-konyong berubah. Saya bertegas untuk melihat mulutnya. Aril menggelengkan kepala laju dan berulang kali memandang pintu keluar seperti ingin melarikan diri terus dari saya.

Astaghfirullah, belum sempat saya berbuat apa-apa, tekupan tangan pada mulut Aril seperti ditolak kasar oleh sesuatu dari mulutnya. Aril ternganga. Lidah Aril tiba-tiba mencabut dirinya sebelum merayap di lantai seperti seekor ular kontot. Murid-murid yang lain kebingungan dan bingkas pula menekup mulut masing-masing. Saya sempat melihat lidah itu merayap laju keluar dari kelas dan seperti ingin menghala ke pejabat pentadbir. Saya dijerat keliru di hadapan kelas sama ada untuk melaporkan kejadian ini atau mendiamkan saja seperti yang diarahkan selalu.

“Nokuro cikgu? Haro koligaganan?” <Kenapa cikgu? Ada masalah?>

Dalam kekalutan, mak cik petugas pembersihan menegur di depan pintu dalam bahasa Dusun. Sebagai orang Dusun, saya memahami pertanyaan itu serba sedikit. Saya cuba membalas dalam bahasa yang sama namun seperti ada bebola batu besar yang menyumbat kerongkong. Perlahan-lahan saya memeriksa mulut sendiri. Astaghfirullah! Rupanya lidah saya juga telah lama hilang.

 


Pengarang :