Makam Almarhum Raja Hassan Almarhum Raja Muda Nala (Raja Busu) di Kampung Chuah, Kuala Lukut, Negeri Sembilan. Foto Facebook Borhan Aman Shah
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Makam bersejarah Raja Busu di Kuala Lukut siap dibaik pulih

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 2 JAN: Makam Almarhum Raja Hassan Almarhum Raja Muda Nala di Kampung Chuah, Kuala Lukut, Negeri Sembilan siap dibaik pulih melibatkan kos sebanyak RM209,314.50

EXCO kebudayaan berkata makam Baginda yang juga dikenali sebagai Raja Busu sebelum ini diserahkan kepada Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) untuk dinaik taraf.

Menurut Borhan Aman Shah, kerja pembaikan mendapat kerjasama Jabatan Kerja Raya daerah Sepang bermula 19 September lalu dan siap sepenuhnya pada 15 Disember.

“Tapak makam Almarhum Raja Busu dibaik pulih kerana ia makam bersejarah. Istana Selangor telah memberi perkenan tapak makam ini sebagai makam bersejarah kerana peranan Almarhum dalam pentadbiran Selangor pada awal abad ke-19,” katanya.

EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah (kiri) ketika melawat makam Almarhum Raja Hassan Almarhum Raja Muda Nala (Raja Busu) di Kampung Chuah, Kuala Lukut, Negeri Sembilan pada 27 Disember 2022. Foto Facebook Borhan Aman Shah

Borhan berkata beliau melawat tapak makam tersebut pada 27 Disember lalu bagi memastikan kualiti dan spesifikasi mengikut kontrak yang dipersetujui sebelum majlis penyerahan dilakukan.

Almarhum Raja Busu merupakan cucunda Almarhum Sultan Salehuddin Shah atau dikenali sebagai Raja Lumu yang merupakan Sultan Selangor pertama.

Baginda yang meneroka Lukut sekitar 1815 mula bergiat aktif dalam perlombongan bijih timah dan dilantik sebagai pembesar Lukut di bawah naungan Kerajaan Selangor.

Almarhum yang membangunkan Lukut dan cemerlang dalam aktiviti perlombongan menaikkan cukai 10 peratus serta membanteras kegiatan bertentangan Islam hingga mendapat tentangan hebat daripada kalangan pelombong terutama Cina.

Pada 1834 berlaku pemberontakan yang menyebabkan rumah Baginda terbakar dan Almarhum serta isteri mangkat dalam tragedi itu. Jenazah kedua-duanya dimakamkan di sebuah bukit di Kampung Kuala Lukut (kini Kampung Chuah).

Kemangkatan Raja Busu menyebabkan Lukut kehilangan seorang pembesar Melayu yang ulung serta secara tidak langsung mengakibatkan kegiatan ekonomi di kota itu lenyap.

 


Pengarang :