Pegawai Eksekutif Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) Dr Nadia Widyawati Madzhi (dua kanan) menyerahkan replika kunci kepada Timbalan Pengarah Pengurusan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Mohd Faizal Abdul Raji (kanan) ketika majlis penyerahan projek naik taraf makam Almarhum Raja Hassan Raja Nala (Raja Busu) di Kampung Chuah, Lukut, Negeri Sembilan pada 6 Januari 2023. Foto FIKRI YUSOF/ SELANGORKINI
AGENDAEXCONASIONAL

Makam Raja Busu di Lukut diserah kepada Jais, elak kegiatan khurafat

PORT DICKSON, 6 JAN: Makam Almarhum Raja Hassan Almarhum Raja Muda Nala di puncak perbukitan Kampung Chuah, Lukut di sini yang selesai dinaik taraf 15 November lalu diserahkan secara rasmi kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hari ini.

Makam bersejarah itu diserahkan Perbadanan Adat dan Warisan Negeri Selangor (Padat) yang bertanggungjawab membaik pulih kawasan tapak seluas 10,000 kaki per segi itu dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor sejak 1 Ogos lalu.

EXCO kebudayaan yang menyaksikan serahan tapak itu berkata makam Baginda yang sebelum ini dikenali sebagai Raja Busu akan dipantau Jais bagi mengelak kegiatan khurafat sekali gus memelihara keharmonian dan kemuliaan.

Petugas membersihkan sekitar makam ketika majlis penyerahan projek naik taraf makam Almarhum Raja Hassan Raja Nala (Raja Busu) di Kampung Chuah, Lukut, Negeri Sembilan pada 6 Januari 2023. Foto FIKRI YUSOF/ SELANGORKINI

“Pada mulanya tapak ini diserahkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson kepada Jais bagi tujuan penyelenggaraan, kemudian Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menitahkan Padat naik taraf kepada makam bersejarah yang lebih baik, kondusif serta boleh dilawati.

“Alhamdulillah, projek ini akhirnya siap dalam tempoh ditetapkan. Tahniah kepada semua agensi yang terlibat menjayakan pelaksanaannya. Kawasan ini akan dipantau Jais selaras titah Tuanku supaya jangan ada perkara khurafat,” kata Borhan Aman Shah ketika ditemui hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah JKR Selangor Ir Mohd Zawawi Zakaria; Ketua Pegawai Eksekutif Padat Dr Nadia Widyati Madzhi dan Timbalan Pengarah Pengurusan Jais Mohd Faizal Abdul Raji.

Dalam pada itu, Borhan berkata projek naik taraf membabitkan makam Baginda dan isteri termasuk lima makam lain, pembinaan sebuah wakaf terbuka, pagar kawasan, laluan pejalan kaki, tangga sedia ada selain pembersihan kawasan dan pemasangan papan tanda melibatkan kos RM249,280.50.

“Kita juga akan melaksanakan kerja naik taraf fasa kedua membabitkan penurapan jalan selain menyediakan parkir kenderaan dan mengindahkan landksap yang dijangka menelan kos sekitar RM300,000,” katanya.

Almarhum Raja Busu merupakan cucunda Almarhum Sultan Salehuddin Shah atau dikenali sebagai Raja Lumu yang merupakan Sultan Selangor pertama.

Baginda yang meneroka Lukut sekitar 1815 mula bergiat aktif dalam perlombongan bijih timah dan dilantik sebagai pembesar Lukut di bawah naungan Kerajaan Selangor.

EXCO Pembangunan Luar Bandar dan Kampung Tradisi dan Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan dan Warisan, Borhan Aman Shah (tengah) menyaksikan penyerahan dokumen naik taraf makam oleh Ketua Pengawai Eksekutif Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) Dr Nadia Widyawati Madzhi (kanan) bersama Jurutera Daerah JKR Sepang Mohamad Yusrey Mahat ketika majlis penyerahan projek naik taraf makam Almarhum Raja Hassan Raja Nala (Raja Busu) di Kampung Chuah, Lukut, Negeri Sembilan pada 6 Januari 2023. Foto FIKRI YUSOF/ SELANGORKINI

Almarhum yang membangunkan Lukut dan cemerlang dalam aktiviti perlombongan menaikkan cukai 10 peratus serta membanteras kegiatan bertentangan Islam hingga mendapat tentangan hebat daripada kalangan pelombong terutama Cina.

Pada 1834 berlaku pemberontakan yang menyebabkan rumah Baginda terbakar dan Almarhum serta isteri mangkat dalam tragedi itu. Jenazah kedua-duanya dimakamkan di sebuah bukit di Kampung Kuala Lukut (kini Kampung Chuah).

Kemangkatan Raja Busu menyebabkan Lukut kehilangan seorang pembesar Melayu yang ulung serta secara tidak langsung mengakibatkan kegiatan ekonomi di kota itu lenyap.


Pengarang :