Pihak berkuasa mengadakan kawalan di luar Kedutaan Turki di Stockholm, Sweden selepas pemimpin politik sayap kanan Sweden-Denmark, Rasmus Paludan mahu membakar al-Quran pada 21 Januari 2023. Foto REUTERS
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Malaysia kutuk tindakan bakar al-Quran di Sweden

KUALA LUMPUR, 22 JAN: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Islamofobia ahli politik pelampau kanan Sweden-Denmark, Rasmus Paludan yang membakar senaskhah kitab suci Islam, al-Quran di Stockholm, Sweden.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia juga menggesa Kerajaan Sweden supaya mengambil tindakan segera ke atas pelaku perbuatan keji itu selain memastikan langkah drastik pada masa depan untuk menangani peningkatan Islamofobia yang membimbangkan di negara itu.

“Penghinaan secara terang-terangan ke atas kitab suci Islam oleh ahli politik Sweden itu dan ketiadaan tindakaan ke atas beliau sama seperti memarakkan Islamofobia dan mewujudkan provokasi melampau kepada sensitiviti bukan hanya kepada Turkiye tetapi lebih daripada dua bilion penganut Islam di seluruh dunia.

“Malaysia mengecam jenayah kebencian berulang menyasarkan Muslim di seluruh dunia selain daripada segala bentuk perbuatan menghasut dan meniup api perkauman dalam bentuk perkataan atau perbuatan dan memandang dengan serius peningkatan arus ucapan kebencian kerana kepercayaan dan keetnikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anwar berkata Malaysia menekankan kepentingan utama dalam mendukung prinsip dialog, libat urus dan saling menghormati dalam menyelesaikan pertikaian.

Beliau juga menggesa masyarakat antarabangsa supaya menolak perbuatan mengumpan kebencian menggunakan bangsa atau agama yang berselindung di sebalik kebebasan bersuara dan kekal bersatu padu terhadap segala bentuk hasutan kebencian dan keganasan.

Paludan, pemimpin parti pelampau kanan Denmark “Stram Kurs”, diberikan kebenaran membakar al-Quran pada Sabtu di luar Kedutaan Turkiye di Stockholm yang membangkitkan kemarahan penganut Islam di seluruh dunia.

– BERNAMA


Pengarang :