Pasukan 7 Briged memberi bantuan kepada mangsa banjir di Johor termasuk bantuan membawa tenaga pengajar dan calon SPM dari kawasan yang terputus hubungan pada 31 Januari 2023. Foto Facebook Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Perdana Menteri
AGENDANASIONAL

Mangsa banjir di Johor dan Sabah meningkat, Pahang kekal

KUALA LUMPUR, 31 JAN: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah dan Johor mencatatkan sedikit peningkatan pagi ini manakala bilangan mangsa banjir di Pahang kekal.

Di Sabah, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,532 orang daripada 560 keluarga yang ditempatkan di 10 PPS, berbanding 1,376 mangsa daripada 522 keluarga malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan memaklumkan daerah Pitas mencatatkan jumlah mangsa teramai iaitu 1,152 orang daripada 450 keluarga, diikuti Telupid 226 orang daripada 59 keluarga, Paitan 111 orang daripada 40 keluarga serta Lahad Datu, membabitkan 43 orang daripada 11 keluarga.

Di Johor, jumlah mangsa banjir di empat daerah meningkat kepada 2,138 orang setakat 8 pagi ini, berbanding 2,113 orang pada 8 malam tadi dengan 22 PPS masih beroperasi di empat daerah iaitu Batu Pahat, Mersing, Kota Tinggi dan Segamat.

Pasukan 7 Briged memberi bantuan kepada mangsa banjir di Johor termasuk bantuan membawa tenaga pengajar dan calon SPM dari kawasan yang terputus hubungan pada 31 Januari 2023. Foto Facebook Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Perdana Menteri

Daerah Batu Pahat masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 879 orang, diikuti Mersing (823), Kota Tinggi (344) dan Segamat (92), menurut JPBN dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Sungai Endau di Mersing masih merekodkan tahap bahaya dengan bacaan 2.38 meter, namun menunjukkan tren penurunan.

Di Pahang, Sekretariat JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir kekal 27 orang daripada lapan keluarga pagi ini dan kesemuanya masih ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Denai di Rompin.

Sementara itu, Sungai Rompin di Jambatan Segamat/Kuantan dalam daerah Kuantan masih melebihi paras bahaya dengan bacaan 10.68 meter pagi ini namun merekodkan trend menurun.

Jabatan Meteorologi meramalkan Rompin hujan sepanjang hari ini.

– BERNAMA


Pengarang :